Salah Faham Masyarat Terhadap Perbankan Islam

 Ditulis oleh : Syuhaib Ithnin dan Khadijah Riza Atiq

Facebook : https://www.facebook.com/syuhaib

“Hari ini kebanyakan masyarakat salah faham mengenai sistem Perbankan Islam, mereka menuduh sistem Perbankkan Islam adalah MAHAL berbanding sistem Perbankan Konvensional. Bukan itu sahaja, malah ada yang menuduh bank Islam zalim dan mengambil kesempatan ke atas orang Islam.”

perbankan_islam

15 perkara yang masyarakat perlu tahu:

  1. Bank Islam pada asalnya ditubuhkan supaya umat Islam mendapat akses kepada kemudahan kewangan yang patuh Syariah, ianya merupakan alternatif kepada perbankan konvensional yang berasaskan riba’.
  2. Bank Islam merupakan entiti perniagaan dan bukannya badan kebajikan yang menawarkan perkhidmatan percuma atau memberi derma. Bagi umat Islam yang layak, mereka boleh memohon bantuan kebajikan di Baitul Mal atau Pusat Zakat.
  3. Bank-bank Islam juga mempunyai para pelabur yang terdiri daripada pemegang saham dan juga pelabur akaun pelaburan yang mengharapkan pulangan yang baik daripada hasil pelaburannya, dan ia bukannya wang subsidi yang diberikan secara percuma. Perlu diingatkan bahawa keadilan antara prinsip utama dalam Islam, maka kepentingan pelabur juga perlu dipelihara.
  4. Selain daripada dana pelaburan, sumber kewangan utama bank Islam ialah deposit yang wajib dipulangkan sekiranya diminta. Hakikatnya, bank Islam tiada wang sendiri yang boleh didermakan atau dipinjamkan sesuka hati.
  5. Bank-bank yang Islam mempunyai para kakitangan yang perlu di bayar gaji selaras dengan nilai pasaran. Justeru, keuntungan adalah penting bagi menjamin kakitangan yang berkualiti dapat dikekalkan.
  6. Bank-bank yang melaksanakan Perbankan Islam juga perlu membayar seluruh kos operasi termasuklah sewa dan selenggara bangunan, peralatan dan sistem IT. Jika khidmat yang ditawarkan adalah percuma dan amat murah, bagaimana mungkin bank-bank Islam boleh berkembang dan menyaingi perbankan konvensional yang sudah lama bertapak.
  7. Umat Islam perlu sedar bahawa bank konvensional sudah terlalu lama bertapak dan sudah memakan terlalu banyak keuntungan, maka mereka lebih kuat kedudukannya berbanding dengan Perbankan Islam yang baharu sahaja bertapak.
  8. Kadar pembiyaan yang ditawarkan oleh bank Islam kini adalah kompetitif dan setara dengan kadar yang ditawarkan oleh bank konvensional. Ini bermakna kenyataan yang menuduh sistem Perbankan Islam mengenakan kadar yang melampau kepada pelanggan adalah kenyataan yang kurang tepat dan boleh dipertikai.
  9. Bank-bank Islam telah banyak membantu umat Islam memiliki harta seperti rumah dan kereta yang antaranya merupakan keperluan asasi, maka mengatakan bank Islam tidak berjasa dan tidak memenuhi objektif syariah (maqasid shar’iyyah) adalah tidak tepat.
  10. Kebanyakan pembiayaan bank Islam berdasarkan kontrak jual beli, di mana harga jualan telah ditetapkan dari awal. Bagi pembiayaan dengan kadar berubah, bank Islam akan memberikan ibra’ (rebat) sekiranya kadar pasaran rendah, namun tidak dapat menaikkan kadar sekiranya melebihi harga jualan. Sekiranya pelanggan ingin membuat penyelesaian awal, pihak Bank Negara Malaysia juga telah mewajibkan bank-bank Islam untuk memberikan ibra’. Maka, tidak benar jika dikatakan pelangan perbankan Islam dizalimi berbanding perbankan konvensional. Malah, kepentingan pelanggan perbankan Islam lebih terpelihara ketika kadar pasaran melambung tinggi.
  11. Mengikut pengamatan, kesemua bank Islam membayar zakat perniagaan, walaupun tiada konsensus yang mewajibkan mereka sebagai sebuah entiti komersial untuk melaksanakan zakat. Bukankah itu memajukan lagi ekonomi orang Islam secara amnya.
  12. Wujudnya perbankan Islam di Malaysia juga telah mencetuskan sektor takaful dan pasaran modal patuh Syariah, membolehkan kita mendapat perlindungan dan aktiviti perniagaan berkembang dengan cara patuh Syariah. Malah, makin ramai pelajar yang mempelajari ilmu muamalat Islam kerana perkembangan sistem kewangan Islam negara. Para alim ulamak serta cendekiawan juga makin rapat dengan industri kewangan serta dapat mengaplikasikan dan meningkatkan ilmu muamalat mereka. Bukankah kesemua ini bermanfaat buat umat Islam?
  13. Hakikatnya, dunia mengakui industri perbankan Islam di Malaysia mempunyai sistem pengurusan Syariah terbaik di dunia, malah pihak pengurusan bank-bank Islam cukup takut dan risau sekiranya operasi bank mereka melanggar Syariah kerana mereka secara individu mungkin dikenakan denda sebanyak RM 25 juta atau penjara 8 tahun di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam
  14. Jika diperhatikan, perbankan konvensional sudah bertapak hampir 300 tahun di Malaysia, manakala perbankan Islam hanya lebih kurang 30 tahun. Sekiranya kita andaikan perbankan konvensional sebagai orang dewasa yang matang (dalam 30 tahun), maka perbankan Islam hanyalah kanak-kanak kecil (dalam 3 tahun). Namun, telah banyak jasa dan pencapaian yang telah diukir oleh “kanak-kanak kecil” ini. Pastinya masih panjang perjalanan “kanak-kanak” ini, masih banyak yang perlu dipelajari dan terlalu banyak potensi yang belum digilap. Tidak wajar kita menuntut dan memarahi kanak-kanak ini seolahnya dia orang dewasa yang matang, sebaiknya kita bersikap konstruktif dan bersama-sama dalam proses pembelajaran ini.
  15. Jika kita menggunakan sistem Konvensional, sebenarnya kita sudah menyokong dan membantu institusi yang jelas KEHARAMANNYA. Malah kita juga berkemungkinan besar terlibat dengan riba yang menyebabkan kita berperang dengan Allah dan Rasul-Nya.

Syuhaib Ithnin & Khadijah Riza Atiq

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *