Kereta Baru atau Lama, Apakah Keperluan Anda?

Mempunyai kenderaan sendiri adalah satu keperluan masa kini. Dengan kemudahan pengangkutan awam yang terhad, majoriti mengambil pilihan untuk membeli kereta secara kredit walaupun menyedari akan komitmen hutang dengan institusi kewangan. Namun begitu, keperluan berkenderaan sendiri ada kalanya menjadi satu medium pembaziran oleh sesetengah individu yang gagal memahami erti sebenar keperluan kenderaan.  Dengan itu, kita perlu bijak mengimbangkan antara keperluan dan liabiliti dari keputusan yang dibuat untuk pembelian sesebuah kenderaan.

keperluan kereta

Kereta Baru atau Kereta Terpakai?

Ramai yang mempunyai pandangan adalah lebih bijak untuk membeli kereta baru kerana kos penyelenggaraannya jauh lebih rendah berbanding kereta terpakai. Namun realitinya terdapat kos lain yang anda perlu tahu, iaitu penyelenggaraan kereta baru adalah terhad di pusat servis yang dilantik oleh  pengeluar kereta untuk memastikan jaminan tidak terbatal. Kebiasaanya, kos servis di tempat terpilih sebegini lebih tinggi daripada tempat biasa!

Memang ramai yang sukakan kereta baru nampak lagi hebat, namun adakah anda ambil kira jumlah susut nilai yang lazimnya lebih tinggi bagi kereta baru berbanding kereta terpakai, terutamanya kereta kontinental.

Untuk pembelian kereta terpakai, pastikan anda memilih kereta yang berusia tidak melebihi lima tahun, atau sekiranya lebih dari lima tahun, sebaiknya anda membawa seorang pakar mekanik kereta untuk membuat pemeriksaan sebelum membuat keputusan untuk membeli sesebuah kenderaan. Sudah tentu anda tidak mahu menanggung kos penyelenggaraan yang lebih tinggi dan kerosakan yang mungkin tidak kelihatan serta tempoh jaminannya yang sudah luput.

Pilih kereta ikut kemampuan

Adalah menjadi satu bencana kewangan bagi sesiapa yang memilih kenderaan atas dasar minat semata-mata tanpa memikirkan apa kesan jangka masa panjang dari aspek kewangan. Malah ada yang membeli kenderaan untuk membuktikan sebuah ‘kejayaan palsu’  sedangkan hakikatnya kereta tersebut dicagar kepada bank!

Harus diingat bahawa kos pemilikan kenderaan bukan setakat mampu membayar ansuran bulanan, namun juga perlu dikira kos penyelengaraan berkala, petrol, insurans tahunan dan juga susut nilai!

Pilih bank yang menawarkan pinjaman terbaik

Pihak bank menetapkan garis panduan jumlah bayaran ansuran bulanan adalah 1/3 daripada pendapatan dan jika anda mengikut formula ini maka anda berpeluang cerah untuk mengalami masalah kewangan.  Kebiasaannya semasa membeli kenderaan anda tidak mempunyai komitmen kewangan lain dan dari semasa ke semasa komitmen anda akan bertambah dari semasa ke semasa (contohnya ansuran rumah, pinjaman peribadi, kad kredit  dan lain lain)dan jumlah pinjaman juga akan meningkat.  Dengan ini, berhati-hati dan jangan sesekali gunakan formula 1/3 tersebut.

Untuk menjimatkan bayaran ansuran bulanan, bagi anda yang mempunyai rekod kredit yang baik, anda boleh berbincang dengan pihak bank untuk memberikan kadar faedah keuntungan yang lebih rendah untuk pinjaman kenderaan anda.  Adalah lebih baik untuk pendekkan tahun pinjaman untuk jimatkan kos pinjaman kenderaan.

Kesimpulannya, kita harus sentiasa terapkan dalam minda bahawa kereta tidak akan menjadi satu aset  dan ia adalah satu liabiliti yang tidak akan memberi pulangan kepada anda. Sekiranya anda inginkan nilai tambah kepada wang anda kenapa harus memilih untuk membayar lebih ansuran bulanan kereta sedangkan wang yang selebihnya boleh digunakan untuk keperluan yang lain atau untuk membuat pelaburan yang memberikan pulangan lebih lumayan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *