Perbaiki Laporan CCRIS

Alhamdulillah, hari ini artikel yang dihasilkan oleh saya sekali lagi disiarkan di Harian Metro ruangan Bisness. Ianya berkisar tentang CCRIS. Artikel penuh saya paparkan di bawah ini.

CCRIS

 

Apabila seseorang  membuat pinjaman dengan institusi kewangan, maklumat kredit  peminjam akan direkod melalui satu sistem yang dikenali sebagai Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (Central Credit Reference Information System, atau lebih dikenali sebagai CCRIS). Sistem ini dikendalikan oleh Biro Kredit yang ditubuhkan di bawah Akta Bank Negara 1958 dan mula beroperasi sejak tahun 1982.

Setiap intitusi kewangan yang bernaung dibawah Bank Negara Malaysia akan menghantar maklumat semua peminjam secara bulanan ke bank negara untuk dimasukkan ke pengkalan data ini iaitu CCRIS. Maklumat- maklumat ini adalah seperti jenis pinjaman, jumlah pinjaman, jumlah ansuran bulan dan pembayaran balik pinjaman. Maklumat ini sentiasa dikemaskini berdasarkan laporan dari institusi kewangan terbabit.

Dengan kata lain, laporan CCRIS adalah fakta dan rekod yang disediakan oleh institusi kewangan dan disatukan kepada satu badan iatu Biro Kredit.  Namun begitu, laporan ini tidak memberikan cadangan mengenai status kredit seseorang individu kerana setiap institusi kewangan mempunyai dasar yang berbeza dalam membuat penilaian risiko kewangan setiap individu.

 Dengan adanya  sistem CCRIS intitusi kewangan boleh membuat semakan tentang komitmen kewangan seseorang yang ingin membuat pinjaman. Dan berdasarkan maklumat yang diperolehi dari CCRIS tersebut membolehkan pihak bank membuat pertimbangan samada untuk meluluskan permohonan pinjaman seseorang itu atau sebaliknya.

Tanggapan yang menyatakan CCRIS adalah satu senarai hitam adalah tidak benar.  Ianya adalah rekod pinjaman seseorang individu dengan institusi kewangan, yang mungkin mempunyai rekod baik atau buruk.

Apa yang ada di dalam laporan CCRIS adalah terdapat tiga komponen utama, iaitu pertama, kredit belum jelas seperti pinjaman perumahan, sewa beli kenderaan, kredit kad, pinjaman peribadi, overdraft dan lain-lain. Apa yang dinyatakan adalah termasuk maklumat jumlah baki, had, kelakuan pembayaran, dan status undang-undang jika ada. Kedua, akaun perhatian khas iaitu semua kemudahan kredit belum jelas yang masih dalam pengawasan rapi institusi kewangan. Ketiga semua permohonan yang telah diluluskan kepada peminjam sepanjang 12 bulan lalu.

Setiap pinjaman akan diberikan skor dalam bentul nombor untuk menunjukkan bilangan pembayaran terlepas. Sebagai contoh, 0 anda membuat pembayaran pada waktu yang ditetapkan dan 1 bermakna ada 1 pembayaran terlepas untuk satu bulan.

Laporan CCRIS menunjukkan rekod pembayaran balik 12 bulan lepas sahaja, selepas itu data tertua dihapuskan.

Bagaimana untuk mengetahui rekod CCRIS tidak baik?

Adalah penting untuk seseorang individu mengetahui status kredit diri sendiri sebelum membuat permohonan pinjaman. Laporan ini boleh didapati di Bank Negara Malaysia melalui kiosk yang disediakan dan anda boleh terus cetak dan dapatkan laporan CCRIS serta merta dengan hanya menggunakan mykad. Bagi sesiapa yang berjauhan, permohonan secara rasmi perlu dilakukan melalui borang yang disediakan di laman web Bank Negara Malaysia.

Berikut adalah petunjuk laporan kredit anda yang mungkin akan bermasalah untuk memohon pinjaman dari mana-mana bank.

  • Akaun di bawah status undang-undang (Tindakan undang-undang yang diambil) atau akaun perhatian khas.
  • Pembayaran yang lewat dari tarikh yang ditetapkan.
  • Penggunaan kad kredit yang tinggi yang tinggi merupakan petunjuk yang kurang baik.
  • Nisbah Khidmat Hutang (DSR) yang tinggi. Ini dilakukan dengan membandingkan jumlah pendapatan dan jumlah baki kredit / pinjaman.
  • Permohonan kredit atau pinjaman aktif yang berganda. Semakin banyak permohonan pinjaman yang di buat semakin terdesak anda kelihatan di mata bank-bank.

Tip Untuk Memperbaiki Laporan CCRIS Bagi Meningkatkan Peluang Untuk Mendapatkan Pinjaman

  • Sekiranya anda mempunyai senarai penggunaan kredit yang tinggi, anda perlu jelaskan beberapa baris kredit anda sebelum mengemukakan permohonan pinjaman baru.
  • Anda perlu pastikan setiap pinjaman dibayar pada atau sebelum tarikh yang ditetapkan dan sekiranya tarikh pembayaran pinjaman sebelum anda menerima gaji, anda boleh cuba untuk minta bank untuk melambatkan kitaran bil, iaitu selepas anda menerima gaji.
  • Jika anda telah dikenalpasti mempunyai rekod pembayaran lewat, tunggu 12 bulan dari tarikh anda dikenalpasti lewat sebelum mengemukakan permohonan pinjaman.
  • Sekiranya anda ingin membuat pinjaman baru, hadkan jumlah permohonan pinjaman. Terlalu banyak permohonan pinjaman sebenarnya mengurangkan peluang anda untuk mendapatkan pinjaman.

Walaupun anda tidak bercadang untuk membuat permohonan pinjaman, saya sarankan anda untuk mengetahui  status kredit dengan membuat semakan laporan CCRIS sekurang-kurangnya setiap dua belas bulan, kerana laporan ini boleh bertindak sebagai satu rekod peribadi  untuk mengetahui berapa banyak sebenarnya jumlah kredit anda, berapa baki keseluruhan hutang, dan juga rekod bulanan yang mungkin anda pernah tertunggak. Bagi sesiapa yang pernah menjadi penjamin kepada pinjaman, laporan kredit bulanan juga dicatatkan dalam kredit CCRIS. Jika orang yang anda jamin itu tidak bayar pinjaman dengan tepat pada masanya, ianya sudah merosakkan laporan CCRIS anda.

 

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

One Comment:

  1. Saya adalah salah seorang pemegang kredit kad satu masa dahulu.
    Masaalah saya adalah tiada disiplin dalam membayar hutang kredit kad dan ini menyebabkan hutang saya makin bertambah dek kerana caj lewat yang di kenakan.
    Sekarang saya sudah tidak lagi menggunakan kredit kad kerana bagi saya ia tidak sesuai bagi orang2 macam saya yang liat nak bayar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *