Urus Hutang Anda Dengan Bijak!

Artikel yang ditulis oleh saya ini  disiarkan dalam Harian Metro 1 September 2014 dengan tajuk Berhenti Buat Hutang Baru.

urus hutang
Hutang adalah sesuatu yang ajaib, kerana dengan hutang, ada yang menjadi kaya-raya dan pada masa yang sama ada yang jatuh bankrap menjadi papa kedana dek kerana hutang. Hutang itu bukan menjadi satu masalah bagi seseorang yang bijak merancang kewangan, kerana ianya boleh mendatangkan manfaat bagi yang tahu menjana wang dengan berhutang. Namun begitu, ramai yang mengalami masalah hutang yang kronik kerana mereka meminjam untuk membeli barang-barang yang tidak akan bertambah nilai dan makin susut nilainya. Inilah dikatakan hutang lapuk.

Bagi sesiapa yang mempunyai masalah hutang lapuk, ambillah masa untuk mengurus hutang anda. Untuk jadi seorang yang bijak dalam merancang kewangan, bukan wang sahaja yang perlu diurus dengan baik, hutang pun perlu ditadbir dengan baik supaya ia tidak menjadi beban yang berat untuk dipikul.

Sebenarnya, pengurusan hutang bukanlah satu aktiviti yang merumitkan dan ianya harus bermula dengan keinginan untuk menyelesaikan hutang lapuk dengan strategi yang betul. Lazimnya, apabila berbicara tentang pengurusan hutang, ramai pula mengambil pendekatan senyap atau lari dari menjelaskan hutang.

Ada yang tahap kronik sehinggakan tak sanggup untuk buka kandungan surat dari bank yang mengandungi penyata hutang. Namun, apa yang mereka dapat sekiranya memilih untuk lari dari masalah hutang? Adakah dengan lari masalah hutang akan selesai dan pihak bank akan memberikan mereka diskaun atas faedah hutang? Sudah tentu tidak sama sekali. Bagi seorang Muslim, perkara hutang bukan perkara kecil. Hutang pada seorang Muslim wajib dibayar, malah waris bertanggungjawab melangsaikan hutang si mati sekiranya ada.

Sebenarnya kita sendiri boleh tahu mengapa keadaan hutang kita jadi tidak terurus. Tentunya akibat kelemahan kita sendiri. Kita sendiri takut hendak menghadapi kenyataan, berapa banyak jumlah hutang yang sedang kita hadapi. Sekiranya hutang tersebut tidak dapat dijelaskan hingga bertahun-tahun lamanya, kadar faedah serta denda yang dikenakan oleh pihak bank boleh mencecah puluhan ribu ringgit. Jika anda mahu menangani isu hutang, anda harus memberanikan diri menghadapi kenyataan sebenar serta bersikap positif. Seandainya anda bertekad ingin menjelaskan hutang, pasti ada penyelesaiannya.

Di sini ada beberapa langkah yang anda boleh ambil untuk uruskan hutang dengan berkesan:

Langkah Pertama: Hentikan dari Membuat Hutang Baru

Ini adalah langkah yang paling penting perlu diambil iaitu berhenti daripada membuat hutang yang baru terutamanya hutang yang melibatkan kad kredit. Untuk apa jua pembelian seterusnya perlu dibuat secara tunai. Sekiranya anda terpaksa berhutang, itu bermaksud anda belum mampu untuk miliki barang tersebut. Kumpulkan duit untuk miliki barang tersebut dan beli secara tunai saja.

Langkah Kedua: Buat Daftar Hutang.

Anda perlu mempunyai senarai daftar hutang untuk menyusun kembali hutang. Apakah jenis hutang yang anda miliki dan berapa nilai kesemuanya? Berapa jumlah ansuran bulanannya? Berapa lagi tempoh bayaran balik? Ada bercagar atau tidak? Mempunyai perlindungan atau tidak?

Bila ada satu daftar hutang, anda boleh buat analisa dan mengira berapakah jumlah faedah yang akan anda bayar untuk menjelaskan hutang tersebut. Lumrahnya, hutang yang dikenakan kadar faedah yang paling tinggi seperti hutang kad kredit adalah hutang yang paling membebankan anda. Oleh itu anda perlu mengambil langkah untuk membayar hutang kad kredit dengan jumlah sebanyak yang mungkin dan dalam tempoh yang paling cepat. Jangan sekali-kali membayar lewat kerana anda akan dikenakan caj kelewatan yang akan membebankan lagi keadaan anda.

Daftar hutang ini boleh dibuat dengan mudah dengan membina satu jadual dengan menyenaraikan setiap hutang kad kredit/ pinjaman peribadi yang anda perlu lunaskan. Jalankan simulasi bagaimana hutang anda sebenarnya akan dapat dilunaskan lebih awal jika bayaran dibuat lebih daripada bayaran minima..

Langkah Ketiga: Gunakan duit lebihan untuk bayar hutang

Lebihan wang boleh datang dari penjimatan yang dijalankan setiap bulan, ataupun bonus tahunan. Wang lebihan ini lebih untung untuk dibayar hutang daripada disimpan dalam simpana tetap. Pengiraannya mudah saja, simpanan tetap di bank pulangannya amat rendah berbanding faedah hutang kad kredit anda!

Langkah Keempat: Pemindahan Baki Kad Kredit

Bagi anda yang mempunyai hutang kad kredit, anda perlu rajin mencari maklumat yang boleh menguntungkan anda dari segi mengurangkan faedah yang dikenakan ke atas hutang anda. Terdapat beberapa bank menawarkan produk yang membolehkan anda memindah baki hutang kad kredit anda dengan sebuah bank kepada mereka tanpa sebarang faedah dikenakan. Ini akan menjimatkan anda dan bolehlah menggunakan sejumlah wang yang sepatutnya anda bayar faedah pinjaman untuk mengurangkan baki pokok hutang anda.

Langkah Kelima: Selesai Satu Hutang, gandakan pembayaran hutang lain.

Inilah untungnya bagi anda yang mempunyai daftar hutang, dimana anda boleh tetapkan keutamaan untuk selesaikan mana-mana hutang terdahulu. Bila dah selesai satu hutang, bukan saja anda lebih bermotivasi untuk selesaikan hutang-hutang lain dalam senarai, malah anda boleh gunakan lebihan wang tersebut untuk gandakan pembayaran hutang lain pula.

Langkah Keenam : Bina pendapatan kedua

Pada dasarnya, hutang terbentuk bukan kerana tidak cukup wang, namun kita tidak berupaya mengawal nafsu untuk memiliki sesuatu yang diluar kemampuan. Bagi sesiapa yang sudah mempunyai kesedaran untuk menguruskan hutang, maknanya anda sudah insaf dan tidak akan mengulangi ‘dosa’ yang lalu. Dengan itu, fikirkan cara bagaimana untuk bina pendapatan kedua dan hasil dari pendapatan ini gunakan sepenuhnya untuk membayar hutang-hutang lapuk sediada. Jangan pula dengan adanya wang tambahan ini anda mula memasang impian untuk tukar kereta baru!

Adalah diharapkan beberapa panduan ini boleh membantu anda menyelesaikan hutang lapuk yang ditanggung sekarang ini. Apa yang pentingnya di sini adalah anda mempunyai matlamat yang jelas bila ingin selesaikan hutang lapuk tersebut dan mulakan tindakan hari ini juga. Alangkah leganya apabila satu persatu hutang sudah dilangsaikan dan gambarkan perasaan gembira yang bakal anda tempuhi dengan bebas dari hutang. Perasaan lega bercampur syukur yang tidak terhingga kepada Allah sebab dengan izin-Nya diberi ruang untuk keluar daripada beban hutang tersebut.
Ahmad Humaizi bin Mat Noor
Perunding Kewangan Islam, Al-Falah Advisor

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *