Julai Yang Penuh Dengan Kenangan

Salam,

Sekian lama saya tidak update blog. Bukan tidak mempunyai kelapangan masa kerana kesibukan dengan Study MHRM yang ada banyak tugasan yang perlu dilaksanakan, tetapi kerana kesedihan yang masih belum pudar sepenuhnya dalam diri ku ini. Bulan Julai bermula tirai dengan penuh bermakna, kelahiran Akram Jauni dalam keluarga kami. Anak ke tiga lelaki yang comel ini lahir ke dunia memeriahkan lagi suasana rumah yang bahagia ini.

Cukup dua minggu kelahiran Jauni, selepas dua minggu bercuti, aku kembali ke ofis pada hari Isnin 23 Julai 2009. Terasa amat berat untuk ke ofis setelah dua minggu berada di rumah melayani karenah Haziq, Jauzil dan Jauni yang kurang tidur di waktu malam.  Lebih kurang pukul 2.00 pm aku menerima panggilan dari Kak Za. Aku tidak mengesyaki apa-apa yang buruk, tetapi apabila mendengar tangisan kak za memberitahu ku “G…ayah dah tak ada G…” aku tergamam..tak tahu nak kata apa lagi..Bagaikan tidak percaya..Betul ke ayah dah meninggalkan kami semua?

Terus aku siap berkemas untuk balik ke kelantan, dan dalam kereta aku tidak mampu lagi menahan takungan air mata yang dari tadi lagi ingin membasahi pipi ku ini…aku sudah tidak peduli siapa yang memandang aku dari luar kereta…dengan sebak aku terus call Abe Pu di Jeddah memaklumkan kepada dia pemergian ayah yang tercinta meninggalkan kami semua di alam dunia ini.

Mulanya aku merancang untuk balik dengan air asia, namun flight yang paling hampir adalah pukul 7pm. Kebetulan Kak E ada kursus di melaka, jadi aku minta Z tunggu Kak E di perhentian Nilai untuk balik bersama-sama dengan flight pukul 7.40 mlm. Malangnya, flight tersebut pun cancel dan hanya tinggal flight pukul 9 malam.

Kami bertolak dari Kuala lumpur jam 3.00pm, dan perjalanan pada hari itu terasa begitu lambat sekali, kerana banyak halangan dan kenderaan di atas jalan. Aku sentiasa berdoa, Ya Allah, berikanlah aku peluang untuk melihat wajah terakhir ayah…Apabila kak Han memberitahu pengebumian hanya akan dilakukan jam 10.00pm, aku yakin akan sempat melihat wajah terakhir ayah, kerana perjalanan kami mengikut masa seperti yang dirancang.

Namun, Kita hanya merancang, Allah yang menentukan..Tiba di km 70 Cegar Perah, tiba-tiba kereta aku berpusing 360′ dan aku terus menekan brek, lalu kereta terbabas ke dalam longkang besar tepi jalan, terbalik dan keluar balik dari longkang tersebut. MasyaAllah…tiada apa yang dapat digambarkan sewaktu kejadian, selain kematian dan kecederaan akan menimpa kami, dan betapa ngerinya mengingatkan kejadian kereta terbalik serta tangisan Haziq, Jauzil dan Jauni serta laungan Allahul Akbar dari bibik.

Mazda3 Aku Selepas Kemalangan
Mazda3 Aku Selepas Kemalangan

Aku terus jadi panik, nak keluar dari kereta yang dah terbalik tayar ke empat-empat di atas amat membingungkan, di mana tali pinggangnya, di mana nak buka pintu. Paling aku risau, kemungkinan kereta akan meletup di waktu kami masih berada di dalamnya. Aku berjaya menendang pintu, namun aku tidak dapat mencari di mana button untuk buka tali pinggang haziq. Tambah lagi, tali pinggang Haziq terbelit dek kerana kereta berpusing.

Allah Selamatkan Kami Semua Semasa Kemalangan
Allah Selamatkan Kami Semua Semasa Kemalangan

 

Kereta-kereta di belakang dan juga yang dalam perjalanan ke kuala lumpur menolong kami semua. Aku betul-betul kebingungan..memikirkan kematian ayah..dan juga kemalangan yang kami tempuhi ini. Melihat kereta Mazda3 aku ini, rasanya tak mungkin tak ada orang yang tidak mengalami kecederaan. Tetapi alhamdulillah, Allah selamatkan kami semua.

Kami meneruskan perjalanan dengan menumpang dua kenderaan, Siti, bibik and three boys menaiki Mercedes Benz manakala aku menaiki Van. Sepanjang perjalanan, aku mendoakan agar aku selamat tiba ke kelantan. Aku tahu, tidak mungkin aku dapat melihat wajah terakhir ayah lagi dek kerana kemalangan tersebut. Ini semua adalah takdir yang telah tersurat.

Setiba di Kuala Krai, aku menghubungi Hatman untuk minta pertolongan dia hantar kami semua ke Kg Pasir Senor. Aku amat menghargai pertolongan sahabat baik ku ini. Terlalu buntu malam itu, nak hubungi keluarga terdekat, tidak mungkin kerana semuanya sibuk dengan pengebumian ayah.

Kami tiba di Kg Pasir Senor jam 10.30 malam. Terlewat 30 minit. Aku dan Hatman terus ke kubur dan melihat separuh daripada kubur ayah telah ditimbus tanah. Ku menahan air mata ini dari bercucuran, namun dalam hati ini siapa yang tahu. Ya Allah…telah ditakdirkan kelewatan 30 minit kerana kemalangan yang menimpa kami di Kuala Lipis tadi. Tiada siapa mengetahui tentang kejadian yang menimpa kami kerana aku tidak mahu Mi terkejut mendengar kecelakaan yang menimpa kami semua.

Setelah selesai, aku kembali ke rumah Mak Cu, tempat di mana Ayah di mandikan dan dipersiapkan untuk menuju ke alam barzakh..Tidak dapat digambarkan perasaan kami semua adik-beradik, bagaikan masih tidak percaya dengan pemergiaan ayah yang begitu senang, pemergiaannya tanpa disaksikan oleh Mi dan juga kami semua. Ayah menghembus nafas terakhir sewaktu Azan Zohor berkumandang, dan tiada siapa mengetahui bila saat sebetulnya ayah dicabut nyawanya, mungkin di waktu beliau sendawa dengan kuat apabila Pak Su Him picit Ayah, atau selepas pak su him meninggalkan ayah sendirian. Walau apa pun, pemergian Ayah ibarat ayah sedang tidur dengan lena namun tidak mungkin akan bangkit lagi di dunia ini.

Ayah…aku yakin ayah sedang bersemadi dengan aman di alam Barzakh..Ayah seorang yang alim, sentiasa membaca Al-Quran, seorang Ustaz yang banyak mencurahkan ilmu agama yang ada di masjid-masjid hampir setiap malam. Aku doakan agar Ayah ditempatkan di taman-taman Syurga sekarang ini. Tinggallah kami di dunia ini, yang mana kami juga bila-bila masa akan dijemput oleh Ilahi. Ayah…kami juga ingin menjadi seperti mu…membuat persediaan penuh untuk menghadapi kematian…ya Allah..janganlah ambil nyawa kami kecuali kami dalam penuh Keimanan dan Ketakwaaan. Berilah kami kesempatan untuk beramal ibadat sebagai satu persediaan untuk bertemu dengan mu ya Allah.

2 Comments

  • maizi,
    inna lillah.. alhamdulillah semua dlm keadaan baik. semoga roh ayah dicucuri rahmat di alam barzakh. byk2 bersabaq ok. 🙂

  • Amin, tq. itulah harapan kami sekeluarga. sentiasa mendoakan agar ayah tercinta berada di taman-taman syurga di alam barzakh.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *