Pelaburan Unit Amanah Berisiko Tinggi?

Unit Amanah

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Hari ini saya ada menerima beberapa emel bertanyakan tentang pelaburan Unit Amanah berasaskan Syariah, serta ada juga yang menyatakan kerisauan tentang melabur dalam Unit Amanah, katanya, berisiko boleh menyebabkan duit mereka hilang.

Saya tak nak komen panjang, sebab kalau tak nak risiko, memang tak ada ‘gain’ la…maksudnya…biarkan duit simpanan anda di bawah bantal atau dalam almari (masih ada risiko kena curi)…even tak kena curi sekalipun..risiko INFLASI amat la besar sekali…

Ye la…kalau inflasi setiap tahun range between 3%-4%..secara otomatik duit mereka yang simpan di bawah bantal atau almari ni akan menyusut between that range….RISIKO gak kan? Ok la…kali ini saya juga ingin membicarakan tentang Dana Syariah Unit Amanah.

Unit Amanah Syariah

Kewujudan dana unit amanah berasaskan Syariah menambah satu lagi bentuk pelaburan kepada masyarakat untuk membuat tabungan dan pelaburan sekali gus memberikan pendedahan dan peluang berkecimpung dalam pasaran modal Islam dan pasaran kewangan Islam.

Alasan ketiadaan pengetahuan dan pengalaman, kekurangan modal serta masa bukan lagi kekangan dan penghalang. Terdapat pelbagai manfaat dan kebaikan yang bakal dinikmati oleh para pelabur atau pemegang unit apabila melabur dalam dana unit amanah berasaskan Syariah berbanding bentuk-bentuk pelaburan yang lain.

Antara kelebihan melabur dalam unit amanah berasaskan Syariah ialah dana diuruskan secara professional dan sistematik oleh pengurus yang berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti. Mereka ini berupaya membuat analisis pasaran serta mahir memilih komponen portfolio yang terbaik.

"Unit Amanah"
Pelaburan Unit Amanah Pilihan Pelabur Kecil

Ini mencerahkan peluang para pelabur untuk memperolehi hasil pelaburan yang baik kelak. Dengan adanya pengurus dana yang mempunyai kemahiran dan sumber bagi menguruskan dana, para pemegang unit tidak perlu begitu bersusah payah mengikuti perkembangan pasaran secara terperinci kerana kepentingan mereka diuruskan dengan baik oleh mereka yang berkebolehan dan berkelayakan.

Pelaburan dalam dana unit amanah berasaskan Syariah terbuka kepada semua peringkat pelabur sama ada individu mahupun institusi, pelabur berskala kecil atau besar. Pelabur kecil yang tidak mampu melanggan sekuriti seperti bon yang mencecah jutaan ringgit harganya, boleh memiliki pelbagai portfolio pelaburan yang ditawarkan melalui pelaburan dalam dana unit amanah. Dana ini mampu dimiliki kerana dipecahkan mengikut unit dan mampu dibeli dengan pelaburan awal serendah RM100 dan pelaburan tambahan serendah RM10.

Unit Amanah Risiko Tinggi?

Pelaburan dalam dana unit amanah memberi peluang kepada pemegang unit untuk mengurangkan risiko pelaburan dengan melakukan proses penyebaran risiko dengan melabur dalam pelbagai instrumen pelaburan seperti saham dan sekuriti yang luas dalam syarikat, sektor atau lokasi yang berlainan. Kepelbagaian portfolio mengurangkan risiko pelaburan berbanding pelaburan secara langsung dalam pasaran ekuiti mahupun sekuriti. Sekiranya berlaku kejatuhan aset pelaburan tertentu, kenaikan harga dan nilai aset lain dalam portfolio pelaburan dapat menampung kerugian tersebut. Walau bagaimanapun ini tidak bermakna pelaburan dalam dana unit amanah tidak berisiko langsung kerana harga seunit bagi dana unit amanah turut mengalami turun dan naik mengikut pretasi pasaran semasa.

Selain itu, pelaburan di dalam dana unit amanah adalah mudah tunai. Pelabur boleh menjual sebahagian atau kesemua unit milik mereka pada sebarang hari urus niaga. Ini berbeza dengan pelaburan hartanah di mana kebiasaannya pemilik terpaksa mengambil masa yang lama untuk mendapatkan pembeli walaupun cuba melupuskan hartanah tersebut pada harga yang rendah di pasaran.

Pelabur yang menitik-beratkan portfolio pelaburan yang mematuhi Syariah kini boleh melabur dalam dana unit amanah berasaskan Syariah tanpa rasa was-was. Ini kerana setiap pelaburan dan aktiviti dana diawasi oleh penasihat Syariah yang berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti. Kewujudan penasihat Syariah ini bertujuan untuk memastikan segala perjalanan dan pengurusan dana adalah selari dengan kehendak Syariah.

Selain manfaat yang diperolehi apabila melabur di dalam unit amanah, pemegang unit amanah harus mengetahui dengan jelas yuran dan caj yang dikenakan oleh syarikat pengurusan. Antaranya ialah caj perkhidmatan permulaan, caj belian semula, yuran penukaran, yuran pemindahan dan bayaran pengurusan.

Dengan peningkatan jumlah dana unit amanah berasaskan Syariah yang telah diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti, para pelabur perlulah bijak untuk membuat pilihan dengan meneliti profail dana yang biasanya mengandungi objektif pelaburan, dasar, strategi dan ciri-ciri utama dana sebelum membuat keputusan untuk melabur. Walaupun di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 telah dinyatakan bahawa kepentingan pelabur akan dilindungi, namun para pelabur sendirilah yang bertanggungjawab untuk memilih dana unit amanah yang bersesuaian. Ini kerana setiap orang mempunyai matlamat pelaburan yang berlainan dan tahap risiko yang sanggup diterima turut berbeza.

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *