Badan Keselamatan Sosial Bantu Pekerja Selepas Bersara?

Menarik juga paparan artikel dalam Harian Metro hari ini, yang menggesa Badan Keselamatan sosial untuk bantu pekerja selepas bersara. Setakat hari ini, dengan adanya simpana wajib dalam KWSP, sekurang-kuranya rakyat Malaysia mempunyai dana perasaraan selepas pencen, namun terbukti dana ini tidak mencukupi. Ini berbalik kepada soal perancangan kewangan, tidak merancang untuk bersara, dan bila bersara, masalah kesihatan melanda, dan wang simpanan yang sepatutnya digunakan untuk persaraan digunakan untuk tujuan perubatan.

Di sini saya paparkan artikel yang disiarkan dalam Harian Metro hari ini.

Dana Persaraan

 

Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melihat semua badan keselamatan sosial perlu bersatu dalam menyelesaikan isu pekerja selepas tempoh persaraan berikutan perubahan demografi. Kajian oleh Jabatan Statistik menunjukkan populasi Malaysia dari umur kosong hingga 14 tahun akan menurun daripada 27.4 peratus kepada 19.6 peratus dalam tempoh 2010 hingga 2040.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahril Riza Ridzuan berkata, statistik itu menunjukkan rakyat Malaysia yang berusia selepas tempoh persaraan akan meningkat dan memerlukan strategi bagi memastikan simpanan kewangan mereka mencukupi. Beliau berkata, setakat 31 Disember 2013, 69 peratus ahli KWSP berusia 54 tahun mempunyai simpanan kurang RM50,000 dan kira-kira perbelanjaan individu mencecah RM800 sebulan.

“Keadaan sekarang ini, usia persaraan minimum adalah 60 tahun dan kita mempunyai kira-kira 15 tahun untuk meneruskan hidup selepas persaraan yang memerlukan wang bagi menampung kos hidup dalam tempoh itu.

“Kita mahukan semua badan yang menjaga keselamatan sosial seperti badan kesihatan, insurans, keselamatan pekerja dan yang berkaitan dengannya perlu merancang untuk menyelesaikan masalah rakyat selepas bersara terutama membabitkan isu kesihatan,” katanya pada taklimat media sempena Seminar Antarabangsa Perubahan Demografi di sini, semalam.

Perubahan demografi adalah isu berkaitan kajian terdapat ramai penduduk yang mempunyai jangka hidup yang panjang dan isu kewangan selepas persaraan boleh memberi kesan langsung kepada ekonomi negara.

Shahril berkata, selain badan keselamatan sosial perlu bertindak dalam satu pelan holistik, rakyat juga seharusnya mempunyai strategi bagi memastikan isu kewangan dan kesihatan selepas persaraan boleh ditangani.

“Ketika ini banyak peluang pelaburan yang boleh disertai rakyat dan mereka perlu bijak dalam menyusun strategi kewangan sejak mula bekerja bagi meningkatkan dana persaraan,” katanya.

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *