Apa Yang Penting Dalam Plan Takaful Anda

APABILA anda mengambil pelan Takaful, anda tentu mengharapkan perlindungan dan manfaat sebagaimana yang telah dipersetujui dan termaktub dalam akad yang ditandatangani.

Anda mahu pelan takaful yang diambil berbaloi dengan jumlah caruman yang dibuat sepanjang tempoh perlindungan sijil.

Oleh itu, sebelum mengambil sebarang pelan Takaful seperti kad perubatan atau pelan berkaitan pelaburan, ada beberapa perkara penting yang perlu anda ketahui. Hal ini bagi mengelak permohonan anda ditolak, sukar apabila membuat tuntutan atau caruman menjadi mahal.

Maklumat berikut juga diharap dapat membantu anda ketika berbincang dengan perunding takaful untuk merangka pelan takaful yang betul dan menepati keperluan anda.

Jenis pelan yang diambil

Dapatkan khidmat perunding takaful untuk menjelaskan manfaat yang anda perlukan dan pastikan anda mendapat manfaat-manfaat tersebut daripada pelan yang disertai.

Anda mungkin mengambil sesuatu pelan dan mungkin tidak memahami perlindungan apa sebenarnya yang diambil. Sebagai contoh, pelan takaful berkaitan pelaburan mempunyai manfaat perlindungan dan pelaburan. Anda perlu tahu caruman untuk pelan tersebut akan diletakkan ke dalam dua dana yang berbeza iaitu dana pelaburan dan dana perlindungan.

Jika anda mahukan potensi pulangan pelaburan yang lebih, maka peratusan caruman anda akan dilebihkan kepada dana pelaburan. Ini juga bermakna jumlah manfaat perlindungan yang akan dibayar kepada anda sekiranya terdapat tuntutan akan lebih rendah.

Oleh itu, penting untuk anda membuat keputusan yang betul dalam menetapkan peratusan jumlah pelaburan dan perlindungan mengikut keperluan anda. Terdapat juga beberapa manfaat yang dibayar hanya jika terma dan syarat dipenuhi lebih-lebih lagi manfaat berbentuk kewangan.

Pastikan anda maklum mengenai terma dan syarat tersebut supaya tidak berasa kecewa atau tertipu jika tidak dapat menikmati manfaat tersebut kerana tidak memenuhi terma dan syarat yang telah ditetapkan.

Umur

Umur adalah antara faktor utama dalam menentukan sumbangan atau caruman bulanan takaful seseorang. Semakin tinggi risiko (disebabkan faktor umur), maka semakin mahal caruman yang perlu dibayar.

Boleh dikatakan semua pelan takaful kanak-kanak boleh diambil seawal umur 30 hari manakala lain-lain pelan takaful pula seawal umur 19 tahun. Oleh itu, jangan berlengah untuk membuat keputusan mengambil pelan perlidungan bagi mengelak anda daripada membayar caruman yang lebih mahal.

Jantina

Walaupun pada umumnya, caruman untuk wanita lebih rendah daripada lelaki, wanita perlukan kesedaran tentang pelbagai jenis penyakit khusus kepada wanita yang mungkin tidak dilindungi dengan pelan perubatan sedia ada. Oleh itu mereka perlu mengambil manfaat tambahan khas bagi penyakit berkaitan wanita seperti kanser payudara atau rahim.

Merokok

Perokok mempunyai risiko kesihatan yang sangat tinggi. Secara amnya, individu perokok lebih berkemungkinan untuk menghidap penyakit kronik daripada bukan perokok.

Golongan perokok ini masih berpeluang mengambil pelan takaful, namun perlu bersedia untuk membayar caruman yang lebih tinggi berbanding individu yang tidak merokok.

Berbincanglah dengan perunding takaful anda untuk mengetahui caruman yang perlu anda bayar setiap bulan.

Penyakit sedia ada

Nyatakan status kesihatan anda secara telus ketika mengisi borang permohonan. Jika anda ada masalah kesihatan atau sejarah perubatan sebelum ini, anda wajib memberitahu perunding takaful anda supaya tidak berlaku sebarang masalah ketika membuat tuntutan nanti.

Pengendali takaful tidak akan menanggung kos perubatan penyakit sedia ada dan kadar sumbangan yang lebih tinggi akan dikenakan kepada pemohon yang mempunyai risiko yang lebih tinggi.

Tempoh menunggu

Tuntutan bagi kad perubatan tidak boleh dibuat dalam tempoh menunggu iaitu maksimum 120 hari daripada tarikh sijil berkuatkuasa melainkan disebabkan kemalangan.

Jika dimasukkan ke wad disebabkan oleh penyakit-penyakit tertentu seperti kanser atau diabetes dalam masa 120 hari, pengendali takaful tidak akan menanggung kos perubatan tersebut. Ini kerana, penyakit-penyakit sebegitu dianggap sudah dihidapi sebelum mengambil pelan takaful.

Pekerjaan dan hobi

Jenis pekerjaan dan hobi anda akan menentukan apakah jenis perlindungan yang diperlukan dan berapakah amaun sumbangan yang bersesuaian. Pekerjaan dan hobi yang berbahaya dan berisiko tinggi terpaksa membayar caruman yang lebih tinggi berbanding pekerjaan yang berisiko rendah.

Sebagai contoh, caruman untuk jurutera pelantar minyak adalah lebih mahal kerana risiko mendapat kemalangan adalah lebih tinggi berbanding dengan orang yang bekerja di dalam pejabat.

Sijil takaful luput

Sijil takaful akan luput sekiranya anda terlepas membuat bayaran atau ada tunggakan. Kes begini sering terjadi jika pemegang sijil membuat bayaran secara manual setiap bulan. Bagi mengelakkan perkara ini berlaku, gunakan kemudahan pembayaran seperti potongan terus dari akaun bank atau kad kredit.

Anda juga boleh membuat bayaran secara tahunan untuk kemudahan. Jika sijil takaful telah luput, anda tidak boleh menikmati manfaat perlindungan pelan seperti menggunakan kad perubatan untuk kemasukan ke hospital. Ini juga merupakan sebab utama Guarantee Letter (GL) anda tidak dikeluarkan oleh pengendali takaful.

Tuntutan melebih had

Jika jumlah kos rawatan anda melebihi had tahunan atau seumur hidup, maka lebihan tidak akan ditanggung oleh pengendali takaful. Sebagai contoh, had tahunan anda RM75,000 dan had seumur hidup RM1,000,000.

Bermakna, dalam masa setahun anda hanya boleh membuat tuntutan sehingga RM75,000. Sekiranya bil melebihi RM75,000 anda perlu bayar selebihnya menggunakan wang sendiri.

Had seumur hidup pula merujuk kepada had jumlah tuntutan sepanjang tempoh perlindungan sijil yang akan dibayar tidak melebihi RM1,000,000. Pastikan anda mengambil pelan perlindungan yang boleh meningkatkan had-had tersebut apabila anda mampu berbuat demikian.

Pelbagai manfaat tambahan (rider) untuk keperluan berbeza

Terdapat pelbagai jenis rider yang ditawarkan bagi memenuhi keperluan yang berbeza. Misalnya, ada rider khusus untuk perlindungan wanita, kemalangan, penyakit kritikal, kad perubatan, pendapatan dan pelbagai lagi.

Oleh itu, penting untuk anda semak semula pelan perlindungan anda jika terdapat perubahan dalam status kehidupan anda seperti berkahwin atau memulakan keluarga dan lihat jika anda perlu menambah rider untuk mendapatkan perlindungan yang optimum.

Hibah Takaful, Sekadar Omong Kosong atau Benarkah Boleh Dilaksanakan?

Sejak kebelakangan ini, ramai Muslim telah sedar akan kepentingan perancangan kewangan, bukan sahaja untuk jadikan kita mempunyai kehidupan yang selesa sewaktu sihat, malah juga selepas bersara serta sekiranya ditakdir meninggalkan dunia ini dengan anak-anak yang masih kecil. Konsep HIBAH semakin popular di kalangan orang Islam untuk memastikan kelangsungan pemberian nafkah kepada isteri dan anak-anak sepeninggalan ayah tercinta.

Adakah Hibah boleh diberikan oleh sesiapa sahaja tanpa melalui proses faraid sepeninggalan orang yang memberikan hibah? Teruskan pembacaan anda di bawah ini.

Kita amat bertuah kerana semakin banyak perkongsian tentang konsep hibah bukan saja dari segi praktikal, malah dari segi akademik dan juga pelaksanaan undang-undang. Dalam entri ini, saya ingin kongsikan beberapa extract dari hasil kajian Tuan Mohd Khairy Kamarudin & Suhaili Alma’amun Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia, tajuk IMPLIKASI AKTA PERKHIDMATAN KEWANGAN ISLAM 2013 KE ATAS INDUSTRI TAKAFUL DI MALAYSIA: TUMPUAN KEPADA PENAMAAN DAN HIBAH MANFAAT TAKAFUL.

Manfaat Kematian Takaful, boleh dibahagikan melalui dua kaedah, iaitu Kaedah pertama adalah melantik seorang atau beberapa penama sebagai wasi atau pemegang amanah dan perlu mengagihkan manfaat tersebut kepada waris-waris yang lain. Kaedah kedua pula adalah mengagihkan manfaat tersebut kepada seorang atau beberapa penama sebagai penerima hibah.

Pada 2007, Bank Negara Malaysia telah mengeluarkan Resolusi Bank Negara Malaysia di mana resolusi tersebut membenarkan manfaat Takaful dihibahkan kepada penama sebagai benefisiati tunggal. Resolusi tersebut adalah seperti berikut (Bank Negara Malaysia, 2007):

  1. Manfaat Takaful boleh dihibahkan kerana ia merupakan hak para peserta. Justeru, para peserta mesti dibenarkan untuk melaksanakan hak-hak mereka berdasarkan pilihan mereka selagi mana ia tidak bertentangan dengan Shariah.
  2. Status hibah yang digunakan dalam pelan Takaful tidak akan berubah menjadi wasiat, kerana jenis hibah yang digunakan ialah hibah bersyarat di mana hibah yang dibuat ialah tawaran kepada penerima untuk tempoh masa yang tertentu. Dalam konteks Takaful, manfaat Takaful dikaitkan dengan kematian peserta dan tempoh matang sijil. Jika peserta masih hidup semasa tempoh matang sijil, manfaat takaful akan dimiliki oleh peserta. Akan tetapi, jika peserta meninggal dunia sebelum tempoh matang, maka hibah akan berkuatkuasa.
  3. Peserta mempunyai hak membatalkan hibah yang dibuat sebelum tempoh matang sijil, kerana hibah bersyarat hanya sempurna selepas berlakunya penyerahan (Al-Qabd).
  4. Peserta mempunyai hak membatalkan hibah yang dibuat kepada seseorang individu dan menyerahkan barang yang ingin dihibahkan itu kepada orang lain atau membatalkan penyertaan dalam Takaful, jika penerimanya mati sebelum tempoh matang dan
  5. Borang penamaan Takaful perlu diselaraskan dan dinyatakan dengan jelas status penama sama ada sebagai benefisiari atau pemegang amanah (wasi). Sebarang masalah berkaitan pembahagian manfaat Takaful mestilah dirujuk kepada kontrak yang telah dimeterai.

 HIBAH TAKAFUL ADALAH HIBAH BERSYARAT

Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013  Manakala, bagi penama yang menjadi benefisiari di bawah hibah bersyarat, merujuk kepada Perenggan 3(2), Jadual 10, manfaat tersebut akan menjadi milik penerima hibah, tidak menjadi sebahagian daripada harta pusaka peserta Takaful dan manfaat tersebut tidak tertakluk kepada hutang si mati. Manfaat Takaful ini tidak menjadi sebahagian daripada harta pusaka peserta Takaful dan tidak tertakluk kepada hutangnya kerana manfaat tersebut telah diberi oleh peserta Takaful kepada penerima hibah semasa hayat peserta Takaful.

Apakah kesan dari Klaus Perenggan 3 (2) ini? Kesannya adalah Pemberian ini tidak boleh dicabar oleh mana-mana ahli waris si mati kerana manfaat tersebut telah dipindah milik kepada penama dan proses penamaan telah berlaku ketika hayat peserta Takaful tanpa ada sebarang keraguan. Antara kelebihan dalam pemberian manfaat takaful ialah manfaat ini akan diberikan dengan kadar segera kepada penama dan tidak tertakluk kepada harta pusaka si mati. Dengan adanya manfaat sebegini rupa, maka ianya sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban keluarga sekiranya berlaku kematian ke atas ketua rumah atau sebagainya.

Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, keseluruhannya kajian ini mendapati akta ini memberikan pengiktirafan kontrak hibah bersyarat yang tidak disepakati. Hal ini disebabkan keperluan pada masa kini yang memerlukan inovasi kontrak-kontrak muamalat supaya dapat memenuhi keperluan umat Islam serta melindungi kebajikan waris-waris.

Merujuk Perenggan 4(1), apabila berlaku kematian penama, permohonan melalui notis secara bertulis oleh peserta Takaful kepada pengendali Takaful dan melalui sebarang penamaan yang terkemudian, maka penamaan tersebut adalah terbatal. Oleh yang demikian, untuk mengelakkan kesulitan dalam proses untuk menuntut manfaat Takaful apabila kematian peserta Takaful, maka peserta Takaful perlu menamakan individu yang baru. Namun begitu, keunikan di dalam hibah bersyarat, apabila berlaku kematian penerima hibah, merujuk kepada Perenggan 4(3), manfaat Takaful tersebut tidak menjadi pusaka kepada penerima hibah dan pemberian hibah tersebut terbatal. Berbeza dengan hibah mutlak, jika penerima hibah meninggal dunia, maka harta yang dihibahkan akan menjadi pusaka penerima hibah dan perlu diagihkan kepada wariswaris penerima hibah.

HIBAH SATU KEPERLUAN BUKAN KEHENDAK

Dewasa ini, setiap keluarga perlu cipta satu Dana HIBAH untuk keluarga tersayang, terutamanya seorang ayah yang mempunyai tanggungan isteri dan anak-anak. Seorang Isteri perlu pastikan suami tersayang yang juga ayah kepada anak-anak mempunyai dana HIBAH ini yang dinamakan ISTERI sebagai penerima Hibah. Anda ingin cipta dana HIBAH dan perlukan info lanjut? Boleh klik di sini http://bit.ly/hibahtakaful atau hubungi saya HUMAIZI di talian 019-3726080 sekarang.

AHMAD HUMAIZI IFP

Kenapa Kita Kurang Bersyukur

Assalamulaikum,

Saya yakin sebagai seorang manusia yang normal, ada ketika terdetik di hati akan kekurangan yang ada pada kita menyebabkan kita terlalu teruja inginkannya. Memang tidak salah inginkan sesuatu namun ada ketikanya kita harus fikirkan tentang anugerah dari Ilahi, hanya Allah yang tahu apa yang terbaik untuk kita. Banyak perkara yang kita inginkan, pada masa yang sama, sebenarnya banyak perkara pun telah Allah berikan kepada kita. Mungkin kita selalu senaraikan wishlist, namun kita lupa untuk senaraikan apa nikmat yang telah Allah berikan sehingga kita kurang bersyukur.

Percayalah, nikmat Allah itu terlalu banyak untuk kita sehinggakan kita tidak mampu untuk balas kesemuanya, even nak tulis satu persatu pun banyak. Di sini saya ingin kongsikan sebab munasabab Kenapa Kita Kurang Bersyukur

  1. Kita fokus kepada apa yang kita TIADA, realitinya apa yang ada lebih banyak dari apa yang kita tiada. Apa yang ada jarang disyukuri.
  2. Kita fokus pada KEKURANGAN, bukan kelebihan. Setiap manusia ada kelebihan dan kekurangan. Kalau kita nak jadi orang cantik atau hensem itu sesuatu yang sukar, kita jadilah orang yang akhlaknya baik, InsyaAllah akhlak baik akan kekal berbanding kecantikan luaran.
  3. Kita selalu lihat pada nikmat dan bukan PEMBERI nikmat. Kita lihat nikmat itu kecil dan mungkin besar, syukur bila dapat yang besar dan jarang kalau dapat yang kecil. Sebenarnya nikmat ini semua besar kalau kita fokus kepada PEMBERI NIKMAT.
  4. Kita kurang bersyukur ppabila kita lihat pada yang di atas, kita tidak lihat apa yang di bawah. Eg, harta, pangkat, rupa lebih cantik, apabila kita tengok di atas kita akan sentiasa kurang. Selalunya pelangi dapat dilihat atas kepala orang lain. Tanpa kita sedar apa yang kita ada lebih dari orang yang lain dilihat.
Pasangan kembar Abah dan Umi Anugerah Terhebat dari Allah

Alhamdulillah, Allah kurniakan saya dan isteri nikmat yang sungguh dahsyat ujiannya… kami diberikan tujuh orang anak dan kecukupan rezeki. Ada ketika terdetik juga di hati saya, apakah ujian berat yang Allah ingin duga kami selepas ini? Apakah kami boleh menerima ujian tersebut memandangkan apa yang kami terima selama  ini adalah ujian nikmat dari Allah. Nak dikatakan tak ada cabaran hidup, sebenarnya memang ada, cuma apa yang kami alami kesusahan masih boleh ditangani tanpa kerisauan melampau. Mungkin sikap postif kehidupan saya dan isteri, ada ketika saya negatif, isteri positif, ada ketika dia negatif, saya pula yang positif. Kehidupan kami saling melengkapi walaupun saya bukan seorang suami yang romatik. Ada ketika saya cemburu juga dengan para suami di luar sana yang selalu menzahirkan keromantikan mereka, kerana saya tidak punyai ciri-ciri sebegitu. Tengok, Syaitan sudah menyelinap masuk dalam hati saya untuk melihat kelebihan pada orang lain, sedangkan Allah telah anugerahkan banyak nikmat yang tidak terhitung lagi.

Bercakap mengenai dugaan, kita kena sentiasa berpegang kepada prinsip  “Laa yukallifullahu nafsan illa wus’ahaa “,  iaitu kalimat awal di akhir surah Al baqarah ini sungguh sangat memberi pengertian besar. Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Allah yang menciptakan mahluk, pencipta alam semesta, tentu sangat faham betul tentang kekuatan atau kesanggupan dari mahluknya dalam menerima beban. Sesuai dengan ayat ini bererti seberat apapun beban yang pernah kita terima sampai detik ini, tentu dimata Allah masih merupakan beban yang masih sanggup kita pikul.

Dengan itu sahabat semua, anda mungkin di saat ini merasakan terbeban dengan apa jua masalah dan dugaan, ketahuilah, Allah tahu apa yang terbaik  untuk kita. Sentiasa fikirkan perjalanan hidup ini adalah satu pelajaran yang bakal memberi makna dan impak besar dalam kehidupan kita suatu hari nanti. Cabaran dan Dugaan adalah satu tangga dan batu loncatan untuk kita menuju dan mara ke hadapan dan terus berjaya di dunia dan akhirat.

Ameen ya Rabbal Alamin.

Coretan dari Ahmad Humaizi, pada 12 December 2016

Seperti Mimpi Tinggalkan Dunia Pekerjaan

November akan jadi satu kenangan yang tidak akan saya lupakan dalam sejarah. Bulan November adalah detik terakhir saya meninggalkan alam pekerjaan. Agak sukar nak buat keputusan untuk ‘resign’ pada ketika saya memegang jawatan sebagai senior manager, namun kerana perasaan yang membuak-buak ingin bebas menentukan ‘masa’ sendiri, apatah lagi apabila seorang boss yang selalu saja mengungkit2  gaji RM13,000++ yang diberikan kepada saya (macam la dia yang bayar gaji?) adalah tidak berbaloi sekiranya saya tidak sanggup untuk bekerja lebih masa sehingga jam 8-9pm mahupun semasa balik rumah masih perlu cek emel ofis. Bekas boss saya sungguh berbangga sekiranya ada staff beliau yang reply emel jam 2-3am katanya sungguh komited bekerja!

ahmad humaizi
Hari terakhir saya meninggalkan alam pekerjaan pada Bulan November 2011

Boss terakhir saya agak tegas dan garang, suka marah2kan staff perempuan semasa meeting, ada yang sampai terkencing kena marah oleh beliau.  Saya rasa bersyukur menjadi seorang lelaki.. staff lelaki dia akan marah berdua-duaan dalam bilik dia saja.. tapi sebagai seorang manusia, terasa juga hilang maruah bila terasa diri amat bodoh sangat seolah-olah tak tahu buat kerja apa-apa…

Saya nekad, sampai bila? Resign dan join company lain pun mungkin lebih teruk? Gaji lebih besar beban tanggungjawab semestinya lebih berat dan harapan company pasti lebih tinggi.

Nak senang, bukannya mudah , tapi takkanlah nak susah selamanya kan? Ramai yang tak tahu sebelum saya menyertai Great Eastern Takaful secara full time pada 10 Januari 2012, saya telah menyertai MNI Takaful (sebelum Etiqa), Takaful Ikhlas dan Prudential secara Part-Time sewaktu saya bekerja.  Saya tahu dengan menjadi usahawan takaful boleh buat duit sampingan, tapi saya tak serius dan gagal untuk mendapatkan clients… saya malu untuk buka mulut cerita berkenaan takaful pada kawan-kawan apatah lagi dengan saudara mara.

Kata-kata jahat dari dalam diri saya selalu mengucapkan… nanti apa orang kata.. apa kelas seorang manager graduan Law pulak tu jadi agent takaful…. Mmmhh…  masa tu saya tak salahkan diri saya, tapi sentiasa salahkan orang lain juga… produk tak bagus.. agensi tak bagus… leader tak pandai la..seolah-olah saya la yang bijak pandai… tapi apa jadi dengan diri saya? Tak ke mana kan?

Alkisahnya, bila saya sertai Great Eastern Takaful, saya rekrut agent bermula tahun 2012 lagi, tapi pada tahun 2015… tiada seorang pun agent yang telah saya rekrut pada than 2012 masih bersama-sama saya.. yang sertai tahun 2013 pun tinggal beberapa orang, tapi tinggal untuk ditamatkan pada tahun2 015 kerana tak cukup maintenance quota.. namun saya teruskan saja buat personal sales, mereka tak nak buat.. saya nak.. saya ada cita-cita untuk dicapai…

Dulu-dulu semasa awal2 buat rekrutment, saya rasa mcm berdosa sebab agent2 saya tak boleh bawa kes, tak dapat client, rasa macam bodohnya saya tak dapat nak bantu mereka ni untuk Berjaya dalam takaful.  Tapi saya Tanya diri saya kembali, bukankah aku dulu macam ni juga? Huhuhhu… kan?

Apa yang orang nampak di luar sana adalah $$$, tapi pada masa yang sama orang tak tahu atau abaikan apa sebenarnya yang telah kita lalui… kalau setakat sorang dua client, usahawan takaful tak akan boleh survive setiap bulan, kena dapatkan ramai client, dan kena jumpa dan hubungi ribuan orang.  Realitinya, hubungi orang yang tidak kita kenali lebih senang dari jumpa orang yang kita kenali, kerana sebagai manusia biasa, apabila ada penolakan, memang akan terbit juga perasaan sedih dan kecewa… tapi buat agent-agent baru, jadikan penolakan ini sebagai satu tangga untuk anda mendaki, bila ada penolakan, sebenarnya mereka ‘push’ anda untuk lebih ke depan.. sikit lagi untuk mencapai apa yang anda idamkan… teruskan dan jangan putus asa..

Ok, seterusnya… cerita seterusnya bukan berniat saya untuk mengaibkan sesiapa.. pada bulan Februari 2012.. Great Eastern Takaful Own Agency, ataupun dikenali sebagai GOA mengadakan Gear Up Conference di Port Dickson..acara pertama sungguh gilang gemilang dihadiri oleh ratusan agent/ leader baru secara PERCUMA di Grand Lexis Port Dickson… ramai sungguh yang attend, maklumlah free kan…. Daripada group leader saya ada lebih kurang 20++ orang… ..

Terkini tahun 2016… yang hadir event Percuma di Grand Lexis tahun 2012 sudah menjadi sejarah.. ke mana mereka semua pergi Wallahu’Alam… bila dilihat foto-foto lama.. sedih betul semua rakan-rakan seperjuangan yang kononnya dulu ingin memperjuangkan takaful sudah tiada lagi dalam industri.. padahal mereka adalah insan-insan yang hebat dan cemerlang datang dari pelbagai background untuk jadi perintis di Great Eastern Takaful.

Apa yang nak saya sampaikan di sini adalah, apa yang kita lakukan pada hari ini adalah perlu ada SEBAB dan MENGAPA kita harus lakukan.. saya  tidak katakan saya sudah Berjaya, saya sendiri masih dalam proses pendakian dan banyak lagi rintangan di hadapan yang perlu saya lalui…

Posting ini bukannya bermaksud saya telah berjaya, banyak lagi yang perlu saya harungi untuk masa akan datang, setiap cabaran dan dugaan harus dilalui dengan lebih kental untuk dijadikan satu ilmu dan pengajaran yang berguna pada masa hadapan!

Ahmad Humaizi, 019-3726080

Lindungi Dari Risiko Kerugian Kewangan

Menguruskan kewangan dengan baik bukan setakat mempunyai rekod perbelanjaan keluar masuk wang, namun juga merancang dan mencipta satu dana untuk menguruskan kerugian kewangan akibat dari terjadinya risiko-risiko yang bakal berlaku dalam kehidupan kita.  Risiko kehilangan kewangan dalam keluarga akan terjadi apabila salah seorang penyumbang  kepada pendapatan meninggal dunia, mengalami kecacatan kekal, kemalangan, sakit kritikal yang menyebabkan tiada kemasukan wang untuk menyara kehidupan.

Artikel mengenai Perlindungan Kewangan ini disiarkan di Harian Metro.

Lindungi Kewangan Anda

Seorang ketua keluarga perlu berusaha dan bersiap sedia menghadapi risiko kehidupan dan ianya bukanlah satu usaha yang ingin melawan takdir Allah SWT. Takaful, iaitu insurans berasaskan muamalat Islam merupakan satu kaedah persiapan atau ikhtiar untuk menghadapi sebarang ketidakpastian yang mungkin berlaku pada diri sendiri atau ahli keluarga.

Kesedaran masyarakat tentang tentang  takaful semakin meningkat dengan adanya kemudahan takaful perubatan, yang mana peserta takaful boleh mendapatkan manfaat bayaran rawatan bil kos rawatan di hospital. Namun begitu, perlindungan takaful bukanlah semata-mata hanya untuk manfaat perubatan sahaja, dan ianya adalah berdasarkan kepada keperluan seseorang individu. Umpamanya keperluan takaful untuk seorang ayah adalah berbeza berbanding dengan seorang anak kecil yang masih belum mempunyai tanggungan.

Seorang ayah perlu memberi keutamaan kepada pembentukan dana penggantian pendapatan melalui skim takaful kerana  ianya adalah satu instrumen mudah, murah, cepat dan pasti dalam pembentukan dana penggantian pendapatan. Kelebihan ketara adalah dana ini boleh dihibahkan tanpa perlu proses faraid. Harta-harta lain tertakluk kepada pembahagian secara faraid yang mungkin mengambil masa untuk diselesaikan. Dengan adanya dana dari takaful, proses penerimaan duit kepada penerima hibah adalah lebih cepat dan ianya amat berguna sekiranya si penerima adalah seorang isteri yang bakal menggalas tanggungjawab seorang ayah yang telah pergi selamanya tidak lagi kembali.

Dalam dunia sekarang ramai yang melalui kehidupan dengan berhutang. Majoriti dari kita berhutang untuk membeli kereta, rumah dan juga membiayai pendidikan. Berhutang atas keperluan kehidupan yang moden yang perlu disediakan bagi membina kehidupan normal. Bagaimana sekiranya kita meninggalkan dunia ini sebelum sempat melunaskan hutang tersebut? Sebagai seorang Muslim, hutang wajib dibayar dan tanggungjawab ini terpaksa digalas oleh waris terdekat. Apa akan terjadi sekiranya waris terutamanya isteri tidak mempunyai sumber kewangan yang cukup untuk melunaskan hutang yang ditinggalkan oleh si suami?

Perancangan kewangan perlu dibuat dari awal untuk pastikan bagaimana hutang piutang kita boleh diuruskan dan ditadbirkan dengan baik oleh waris terdekat sepeninggalan kita nanti dari dunia ini.Dengan adanya dana dari takaful, waris terdekat boleh menggunakan wang dari dana ini untuk melangsaikan hutang setelah ketiadaan kita nanti.

Untungnya para Muslim sekarang ini kerana para pengendali takaful telah membangunkan pelbagai produk-produk komprehensif berasaskan syariah bagi melindungi risiko peserta-peserta takaful. Pelan takaful berkaitan pelaburan merupakan satu pelan perlindungan yang menjadi pilihan ramai kerana ianya mempunyai pelbagai manfaat perlindungan tambahan. Selain daripada perlindungan kematian, hilang upaya kekal, sakit kritikal, kad perubatan, antara ciri menarik terdapat dalam pelan ini adalah penggantian pelaburan. Ketika  anda kehilangan keupayaan untuk meneruskan bayaran sumbangan ke dana takaful,ketidakupayaan ini boleh dikawal sekiranya anda mengambil manfaat penggantian atau lebih dikenali sebagai pengenepian sumbangan atau manfaat  faedah pembayar.

Dengan adanya manfaat ini, walaupun sumbangan bulanan tidak lagi perlu dibayar akibat dari ketidakupayaan, peserta takaful boleh terus menikmati manfaat perlindungan termasuk kad perubatan dan juga sumbangan polisi takaful berterusan yang sebahagiannya akan dilaburkan ke dalam dana unit amanah dan keuntungan dimasukkan ke dalam tabung takaful bagi membolehkan anda menikmati simpanan sehingga tamat tempoh takaful anda.

Kesimpulannya, pelan takaful yang terbaik adalah yang sesuai dengan keperluan dan bajet kewangan anda. Apa yang anda perlu tahu adalah menyertai takaful tidak sama seperti menyertai keahlian kelab golf, kerana anda perlu sertai takaful pada ketika anda tidak perlukan manfaatnya. Sekiranya anda ingin menyertai takaful pada waktu anda memerlukannya, kemungkinan besar permohonan anda akan ditolak oleh pengendali takaful. Rancang kewangan bukan sekadar ingin menjadi seorang yang bijak menguruskan wang semasa sihat dan mempunyai berpendapatan dan simpanan yang tinggi, namun juga untuk mentadbirkan risiko kerugian kewangan di saat kita tidak lagi berupaya untuk menjana pendapatan bagi menyara diri sendiri mahupun keluarga tercinta.

 

Disediakan oleh,

Ahmad Humaizi bin Mat Noor
Perunding Kewangan Islam

Kerja Sampingan Bukan Lagi Satu Pilihan?

Dalam kehidupan yang semakin mencabar, dengan kenaikan harga barangan, pelbagai cukai yang terpaksa dibayar oleh rakyat Marhain setiap hari, saya diberi kesempatan oleh Harian Metro untuk memberikan pendapat mengenai isu Kerja Sampingan.

kerja sampingan

1. Peningkatan kos sara hidup setiap tahun menyebabkan ramai pekerja melakukan kerja sampingan bagi mencari pendapatan tambahan. Apa komen tuan mengenai fenomena ini?

Peningkatan kos sara hidup yang tidak selari dengan kenaikan gaji menyebabkan ramai pekerja terpaksa mencari alternatif untuk menambahkan pendapatan keluarga.  Namun perkara utama yang seorang pekerja perlu kenal pasti sebelum mencari kerja sampingan apakah keperluan dan objektif utama mereka mempunyai kerja sampingan, adakah kerana untuk membayar hutang ataupun untuk keperluan lain seperti membuat tabungan untuk dana pendidikan atau persaraan. Apabila ada matlamat yang khusus, maka anda boleh gariskan beberapa langkah dan panduan yang sesuai untuk tidak menjejaskan pekerjaan utama seharian anda.

Mempunyai kerja sampingan boleh menjejaskan produktiviti seseorang pekerja sekiranya tidak diimbangi dengan betul apa matlamat asal mereka melakukan kerja sampingan.

Fenomena ini boleh mendatangkan kebaikan dan keburukan kepada majikan mahupun seseorang pekerja itu sendiri. Majikan sebolehnya mahukan pekerja mereka memberi komitmen penuh dan setia kepada organisasi tempat mereka bekerja, pada masa yang sama, masalah kewangan yang dialami oleh pekerja juga boleh mendorong masalah-masalah lain yang boleh juga mengurangkan produktiviti syarikat.

Dengan menaikkan gaji pekerja semata-mata untuk tidak membenarkan pekerja melakukan kerja sampingan tidak mungkin akan dapat menyelesaikan masalah kewangan pekerja sekiranya mereka tidak bersedia untuk melengkapkan diri dengan ilmu pengurusan kewangan. Pekerja yang bijak merancang kewangan dan tidak mengalami masalah hutang yang serius kebiasaannya boleh memberikan tumpuan dan sentiasa berusaha untuk meningkatkan produktiviti mereka untuk kebaikan syarikat.

2. Apa persediaan yang perlu dilakukan oleh mereka yang ingin melakukan kerja sampingan ini?

Persediaan utama yang perlu dilakukan oleh pekerja adalah untuk memastikan kerja sampingan yang dilakukan tidak memberi sebarang  konflik kepentingan dengan majikan tempat anda bekerja.  Seterusnya , anda perlu kenal pasti apakah bentuk kerja sampingan yang sesuai untuk dilakukan,  umpamanya boleh dilakukan secara sambilan dan tidak mengganggu kerja di siang hari. Kerja tersebut seharusnya tidak mengambil masa yang lama kerana anda telah menghabiskan masa selama lapan jam di pejabat, sanggupkah anda untuk bekerja lagi selama lima jam atau lebih pada sebelah malam?

Ketika anda menimbang untuk melakukan kerja sambilan, carilah sesuatu yang tidak memerlukan modal yang besar ataupun anda tidak perlu mengeluarkan kos operasi yang tinggi dari pekerjaan ataupun perniagaan tersebut.

Realitinya tidak semua orang boleh lakukan perkara yang sama kerana setiap antara kita mempunyai kekuatan dan kekurangan tersendiri. Justeru itu, anda harus mengenal pasti apakah bentuk pekerjaan yang boleh mendatangkan pendapatan tambahan kepada anda seorang pekerja tanpa memerlukan pengurusan yang rapi untuk tidak menjejaskan pekerjaan utama anda.

Antara pendapatan sampingan yang boleh dilakukan oleh seorang pekerja adalah dengan membuat kerja jualan secara sambilan, menjadi pensyarah di institusi pengajian swasta, menjadi seorang penulis, membuat kerja perundingan mengikut kepakaran anda, membuat kelas untuk berkongsi kemahiran yang anda miliki, contohnya anda suka memasak, boleh membuat bengkel  memasak untuk ibu berkerjaya pada hujung minggu.

Sebenarnya terdapat banyak pilihan untuk mendatangkan pendapatan tambahan, namun kebanyakan dari kita membuat had pada bidang jualan produk fizikal saja, sedangkan anda mempunyai kelebihan dalaman yang belum dicungkil sepenuhnya oleh majikan anda, dan inilah masanya untuk anda keluarkan ‘gergasi’ dari dalam diri anda. Mana tahu suatu hari nanti anda boleh jadi seorang pakar dalam bidang yang anda ceburi secara sambilan saja, namun atas dasar minat yang mendalam, anda boleh menjana pendapatan yang lumayan!

3. Apakah kesilapan yang sering dilakukan oleh mereka yang membuat kerja sampingan ini dan apakah kesannya?

Pokok pangkalnya, anda masih mempunyai majikan dan inilah sumber pendapatan utama untuk menyara keluarga. Dengan itu, jangan khianati amanah yang diberikan oleh majikan anda, kerana apa yang anda inginkan bukan saja pendapatan tambahan, namun keberkatan dari hasil usaha anda. Anda tahu apa yang bakal lakukan, oleh itu, lakukan kerja sampingan di luar waktu bekerja dan tidak menggunakan kemudahan yang disediakan oleh majikan. Melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan sumber pendapatan utama, yang boleh menyebabkan mereka kehilangan pekerjaan. Apakah ini yang anda inginkan? Pastinya ini bukan matlamat asal, kerana apa yang anda inginkan adalah tambahan daripada pendapatan sedia ada untuk meningkatkan ekonomi keluarga.

Antara kesilapan lain yang biasa dilakukan adalah dengan melakukan lebih dari dua pekerjaan sambilan secara serentak lantas mereka sukar untuk memberi tumpuan dan fokus kepada setiap satu pekerjaan. Anda harus pilih sesuatu yang apabila anda lakukan boleh membuatkan anda  gembira dan juga memberi pulangan yang setimpal dengan apa yang telah anda usahakan. Apabila anda fokus kepada satu-satu pekerjaan, anda akan dapat memberikan masa dan tumpuan semaksima mungkin dan tidak lari dari matlamat asal kenapa anda perlu melakukan kerja sambilan.