Agensi Ahmad Humaizi Consultancy

Alhamdulillah, setelah lima tahun berada dalam industri takaful, iaitu bermula tahun Januari 2012 selepas meninggalkan kerja makan gaji, saya mendapat rezeki dari Allah untuk memimpin agensi Takaful sendiri, yang saya namakan Ahmad Humaizi Consultancy.

Saya telah memilih lokasi TTDI Grove Kajang untuk dijadikan agensi ofis Ahmad Humaizi Consultancy. Kenapa saya pilih lokasi ini adalah utamanya berhampiran dengan rumah saya, lebih kurang dalam lima km, keduanya, lokasi TTDI Grove Kajang senang untuk akses, terletak di tepi Highway Kajang- Cheras – Semenyih. Kawasan shop lot TTDI Grove Kajang adalah satu perbandaran baru yang dimajikan oleh pemaju TTDI Naza Development, dan ianya terletak bersebelahan dengan Kajang Perdana dan Penjara Kajang.

Kenapa perlu kemudahan pejabat untuk Agensi Takaful Keluarga?

Fungsi utama Group Manager bukan lagi untuk membuat jualan takaful, namun untuk melahirkan lebih ramai perunding takaful yang boleh mendidik masyarakat tentang Pengurusan Risiko Kewangan. Tabiat umum masyarakat tidak suka menyimpan wang, apatah lagi menyertai dalam kelompok takaful, kerana majoriti menganggap satu ‘kerugian’ sertai takaful kerana selalu menganggap mereka kebal dari sebarang risiko. Jadi di sinilah peranan Perunding Takaful untuk mendidik masyarakat tentang satu keperluan untuk selesaikan hutang apabila meninggal, dan kita selalu mengingatkan tentang Kerana Hutang Syurga Terhalang. Malah banyak lagi idea lain yang patut diperjuangkan oleh agent takaful.

Budaya Agensi Ahmad Humaizi Consultancy

Setiap agensi takaful mempunyai visi dan nilai yang berbeza. Pandangan saya untuk ‘sustain’ dalam industri ini adalah bukan jualan yang cepat dan besar dalam masa singkat, namun berapa banyak ilmu kewangan yang dijana oleh seseorang perunding dalam industri ini. Bagi anda yang sertai kami di Ahmad Humaizi Consultancy (AHC), anda berpeluang untuk mendalami ilmu pemasaran takaful yang semestinya berbeza dengan MENJUAL INSURANS. Nampak sama, namun ianya tidak sekali-kali sama, hanya jauhari yang kenal manikam. Penerapan ilmu memerlukan dua hala, dan anda yang ingin berjaya dalam industri ini perlu bersedia untuk belajar dan juga turun padang untuk mendapatkan pengalaman terus dari bakal pelanggan. Inilah ‘real knowledge’ yang amat bernilai dalam industri ini, iaitu on the job training selepas mendapat idea dari leader industri.

Jom sertai kami

Saya meletakkan satu komitment untuk jalankan aktiviti Rekrutment perunding takaful berterusan sehingga akhir hayat saya. Inilah jihad saya di dunia ini, dalam bidang kewangan Islam. Saya ingin fokus lahirkan lebih ramai perunding yang bukan setakat berjaya capai impian mereka dari segi materialistik, namun juga berjaya mendidik masyarakat di luar sana tentang pengurusan risiko kewangan.

Anda yang berminat untuk sertai kami boleh hubungi saya 019-3726080.

AHMAD HUMAIZI
Group Manager
Great Eastern Takaful Berhad

Hibah Takaful, Sekadar Omong Kosong atau Benarkah Boleh Dilaksanakan?

Sejak kebelakangan ini, ramai Muslim telah sedar akan kepentingan perancangan kewangan, bukan sahaja untuk jadikan kita mempunyai kehidupan yang selesa sewaktu sihat, malah juga selepas bersara serta sekiranya ditakdir meninggalkan dunia ini dengan anak-anak yang masih kecil. Konsep HIBAH semakin popular di kalangan orang Islam untuk memastikan kelangsungan pemberian nafkah kepada isteri dan anak-anak sepeninggalan ayah tercinta.

Adakah Hibah boleh diberikan oleh sesiapa sahaja tanpa melalui proses faraid sepeninggalan orang yang memberikan hibah? Teruskan pembacaan anda di bawah ini.

Kita amat bertuah kerana semakin banyak perkongsian tentang konsep hibah bukan saja dari segi praktikal, malah dari segi akademik dan juga pelaksanaan undang-undang. Dalam entri ini, saya ingin kongsikan beberapa extract dari hasil kajian Tuan Mohd Khairy Kamarudin & Suhaili Alma’amun Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia, tajuk IMPLIKASI AKTA PERKHIDMATAN KEWANGAN ISLAM 2013 KE ATAS INDUSTRI TAKAFUL DI MALAYSIA: TUMPUAN KEPADA PENAMAAN DAN HIBAH MANFAAT TAKAFUL.

Manfaat Kematian Takaful, boleh dibahagikan melalui dua kaedah, iaitu Kaedah pertama adalah melantik seorang atau beberapa penama sebagai wasi atau pemegang amanah dan perlu mengagihkan manfaat tersebut kepada waris-waris yang lain. Kaedah kedua pula adalah mengagihkan manfaat tersebut kepada seorang atau beberapa penama sebagai penerima hibah.

Pada 2007, Bank Negara Malaysia telah mengeluarkan Resolusi Bank Negara Malaysia di mana resolusi tersebut membenarkan manfaat Takaful dihibahkan kepada penama sebagai benefisiati tunggal. Resolusi tersebut adalah seperti berikut (Bank Negara Malaysia, 2007):

  1. Manfaat Takaful boleh dihibahkan kerana ia merupakan hak para peserta. Justeru, para peserta mesti dibenarkan untuk melaksanakan hak-hak mereka berdasarkan pilihan mereka selagi mana ia tidak bertentangan dengan Shariah.
  2. Status hibah yang digunakan dalam pelan Takaful tidak akan berubah menjadi wasiat, kerana jenis hibah yang digunakan ialah hibah bersyarat di mana hibah yang dibuat ialah tawaran kepada penerima untuk tempoh masa yang tertentu. Dalam konteks Takaful, manfaat Takaful dikaitkan dengan kematian peserta dan tempoh matang sijil. Jika peserta masih hidup semasa tempoh matang sijil, manfaat takaful akan dimiliki oleh peserta. Akan tetapi, jika peserta meninggal dunia sebelum tempoh matang, maka hibah akan berkuatkuasa.
  3. Peserta mempunyai hak membatalkan hibah yang dibuat sebelum tempoh matang sijil, kerana hibah bersyarat hanya sempurna selepas berlakunya penyerahan (Al-Qabd).
  4. Peserta mempunyai hak membatalkan hibah yang dibuat kepada seseorang individu dan menyerahkan barang yang ingin dihibahkan itu kepada orang lain atau membatalkan penyertaan dalam Takaful, jika penerimanya mati sebelum tempoh matang dan
  5. Borang penamaan Takaful perlu diselaraskan dan dinyatakan dengan jelas status penama sama ada sebagai benefisiari atau pemegang amanah (wasi). Sebarang masalah berkaitan pembahagian manfaat Takaful mestilah dirujuk kepada kontrak yang telah dimeterai.

 HIBAH TAKAFUL ADALAH HIBAH BERSYARAT

Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013  Manakala, bagi penama yang menjadi benefisiari di bawah hibah bersyarat, merujuk kepada Perenggan 3(2), Jadual 10, manfaat tersebut akan menjadi milik penerima hibah, tidak menjadi sebahagian daripada harta pusaka peserta Takaful dan manfaat tersebut tidak tertakluk kepada hutang si mati. Manfaat Takaful ini tidak menjadi sebahagian daripada harta pusaka peserta Takaful dan tidak tertakluk kepada hutangnya kerana manfaat tersebut telah diberi oleh peserta Takaful kepada penerima hibah semasa hayat peserta Takaful.

Apakah kesan dari Klaus Perenggan 3 (2) ini? Kesannya adalah Pemberian ini tidak boleh dicabar oleh mana-mana ahli waris si mati kerana manfaat tersebut telah dipindah milik kepada penama dan proses penamaan telah berlaku ketika hayat peserta Takaful tanpa ada sebarang keraguan. Antara kelebihan dalam pemberian manfaat takaful ialah manfaat ini akan diberikan dengan kadar segera kepada penama dan tidak tertakluk kepada harta pusaka si mati. Dengan adanya manfaat sebegini rupa, maka ianya sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban keluarga sekiranya berlaku kematian ke atas ketua rumah atau sebagainya.

Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, keseluruhannya kajian ini mendapati akta ini memberikan pengiktirafan kontrak hibah bersyarat yang tidak disepakati. Hal ini disebabkan keperluan pada masa kini yang memerlukan inovasi kontrak-kontrak muamalat supaya dapat memenuhi keperluan umat Islam serta melindungi kebajikan waris-waris.

Merujuk Perenggan 4(1), apabila berlaku kematian penama, permohonan melalui notis secara bertulis oleh peserta Takaful kepada pengendali Takaful dan melalui sebarang penamaan yang terkemudian, maka penamaan tersebut adalah terbatal. Oleh yang demikian, untuk mengelakkan kesulitan dalam proses untuk menuntut manfaat Takaful apabila kematian peserta Takaful, maka peserta Takaful perlu menamakan individu yang baru. Namun begitu, keunikan di dalam hibah bersyarat, apabila berlaku kematian penerima hibah, merujuk kepada Perenggan 4(3), manfaat Takaful tersebut tidak menjadi pusaka kepada penerima hibah dan pemberian hibah tersebut terbatal. Berbeza dengan hibah mutlak, jika penerima hibah meninggal dunia, maka harta yang dihibahkan akan menjadi pusaka penerima hibah dan perlu diagihkan kepada wariswaris penerima hibah.

HIBAH SATU KEPERLUAN BUKAN KEHENDAK

Dewasa ini, setiap keluarga perlu cipta satu Dana HIBAH untuk keluarga tersayang, terutamanya seorang ayah yang mempunyai tanggungan isteri dan anak-anak. Seorang Isteri perlu pastikan suami tersayang yang juga ayah kepada anak-anak mempunyai dana HIBAH ini yang dinamakan ISTERI sebagai penerima Hibah. Anda ingin cipta dana HIBAH dan perlukan info lanjut? Boleh klik di sini http://bit.ly/hibahtakaful atau hubungi saya HUMAIZI di talian 019-3726080 sekarang.

AHMAD HUMAIZI IFP

Seperti Mimpi Tinggalkan Dunia Pekerjaan

November akan jadi satu kenangan yang tidak akan saya lupakan dalam sejarah. Bulan November adalah detik terakhir saya meninggalkan alam pekerjaan. Agak sukar nak buat keputusan untuk ‘resign’ pada ketika saya memegang jawatan sebagai senior manager, namun kerana perasaan yang membuak-buak ingin bebas menentukan ‘masa’ sendiri, apatah lagi apabila seorang boss yang selalu saja mengungkit2  gaji RM13,000++ yang diberikan kepada saya (macam la dia yang bayar gaji?) adalah tidak berbaloi sekiranya saya tidak sanggup untuk bekerja lebih masa sehingga jam 8-9pm mahupun semasa balik rumah masih perlu cek emel ofis. Bekas boss saya sungguh berbangga sekiranya ada staff beliau yang reply emel jam 2-3am katanya sungguh komited bekerja!

ahmad humaizi
Hari terakhir saya meninggalkan alam pekerjaan pada Bulan November 2011

Boss terakhir saya agak tegas dan garang, suka marah2kan staff perempuan semasa meeting, ada yang sampai terkencing kena marah oleh beliau.  Saya rasa bersyukur menjadi seorang lelaki.. staff lelaki dia akan marah berdua-duaan dalam bilik dia saja.. tapi sebagai seorang manusia, terasa juga hilang maruah bila terasa diri amat bodoh sangat seolah-olah tak tahu buat kerja apa-apa…

Saya nekad, sampai bila? Resign dan join company lain pun mungkin lebih teruk? Gaji lebih besar beban tanggungjawab semestinya lebih berat dan harapan company pasti lebih tinggi.

Nak senang, bukannya mudah , tapi takkanlah nak susah selamanya kan? Ramai yang tak tahu sebelum saya menyertai Great Eastern Takaful secara full time pada 10 Januari 2012, saya telah menyertai MNI Takaful (sebelum Etiqa), Takaful Ikhlas dan Prudential secara Part-Time sewaktu saya bekerja.  Saya tahu dengan menjadi usahawan takaful boleh buat duit sampingan, tapi saya tak serius dan gagal untuk mendapatkan clients… saya malu untuk buka mulut cerita berkenaan takaful pada kawan-kawan apatah lagi dengan saudara mara.

Kata-kata jahat dari dalam diri saya selalu mengucapkan… nanti apa orang kata.. apa kelas seorang manager graduan Law pulak tu jadi agent takaful…. Mmmhh…  masa tu saya tak salahkan diri saya, tapi sentiasa salahkan orang lain juga… produk tak bagus.. agensi tak bagus… leader tak pandai la..seolah-olah saya la yang bijak pandai… tapi apa jadi dengan diri saya? Tak ke mana kan?

Alkisahnya, bila saya sertai Great Eastern Takaful, saya rekrut agent bermula tahun 2012 lagi, tapi pada tahun 2015… tiada seorang pun agent yang telah saya rekrut pada than 2012 masih bersama-sama saya.. yang sertai tahun 2013 pun tinggal beberapa orang, tapi tinggal untuk ditamatkan pada tahun2 015 kerana tak cukup maintenance quota.. namun saya teruskan saja buat personal sales, mereka tak nak buat.. saya nak.. saya ada cita-cita untuk dicapai…

Dulu-dulu semasa awal2 buat rekrutment, saya rasa mcm berdosa sebab agent2 saya tak boleh bawa kes, tak dapat client, rasa macam bodohnya saya tak dapat nak bantu mereka ni untuk Berjaya dalam takaful.  Tapi saya Tanya diri saya kembali, bukankah aku dulu macam ni juga? Huhuhhu… kan?

Apa yang orang nampak di luar sana adalah $$$, tapi pada masa yang sama orang tak tahu atau abaikan apa sebenarnya yang telah kita lalui… kalau setakat sorang dua client, usahawan takaful tak akan boleh survive setiap bulan, kena dapatkan ramai client, dan kena jumpa dan hubungi ribuan orang.  Realitinya, hubungi orang yang tidak kita kenali lebih senang dari jumpa orang yang kita kenali, kerana sebagai manusia biasa, apabila ada penolakan, memang akan terbit juga perasaan sedih dan kecewa… tapi buat agent-agent baru, jadikan penolakan ini sebagai satu tangga untuk anda mendaki, bila ada penolakan, sebenarnya mereka ‘push’ anda untuk lebih ke depan.. sikit lagi untuk mencapai apa yang anda idamkan… teruskan dan jangan putus asa..

Ok, seterusnya… cerita seterusnya bukan berniat saya untuk mengaibkan sesiapa.. pada bulan Februari 2012.. Great Eastern Takaful Own Agency, ataupun dikenali sebagai GOA mengadakan Gear Up Conference di Port Dickson..acara pertama sungguh gilang gemilang dihadiri oleh ratusan agent/ leader baru secara PERCUMA di Grand Lexis Port Dickson… ramai sungguh yang attend, maklumlah free kan…. Daripada group leader saya ada lebih kurang 20++ orang… ..

Terkini tahun 2016… yang hadir event Percuma di Grand Lexis tahun 2012 sudah menjadi sejarah.. ke mana mereka semua pergi Wallahu’Alam… bila dilihat foto-foto lama.. sedih betul semua rakan-rakan seperjuangan yang kononnya dulu ingin memperjuangkan takaful sudah tiada lagi dalam industri.. padahal mereka adalah insan-insan yang hebat dan cemerlang datang dari pelbagai background untuk jadi perintis di Great Eastern Takaful.

Apa yang nak saya sampaikan di sini adalah, apa yang kita lakukan pada hari ini adalah perlu ada SEBAB dan MENGAPA kita harus lakukan.. saya  tidak katakan saya sudah Berjaya, saya sendiri masih dalam proses pendakian dan banyak lagi rintangan di hadapan yang perlu saya lalui…

Posting ini bukannya bermaksud saya telah berjaya, banyak lagi yang perlu saya harungi untuk masa akan datang, setiap cabaran dan dugaan harus dilalui dengan lebih kental untuk dijadikan satu ilmu dan pengajaran yang berguna pada masa hadapan!

Ahmad Humaizi, 019-3726080

Lindungi Dari Risiko Kerugian Kewangan

Menguruskan kewangan dengan baik bukan setakat mempunyai rekod perbelanjaan keluar masuk wang, namun juga merancang dan mencipta satu dana untuk menguruskan kerugian kewangan akibat dari terjadinya risiko-risiko yang bakal berlaku dalam kehidupan kita.  Risiko kehilangan kewangan dalam keluarga akan terjadi apabila salah seorang penyumbang  kepada pendapatan meninggal dunia, mengalami kecacatan kekal, kemalangan, sakit kritikal yang menyebabkan tiada kemasukan wang untuk menyara kehidupan.

Artikel mengenai Perlindungan Kewangan ini disiarkan di Harian Metro.

Lindungi Kewangan Anda

Seorang ketua keluarga perlu berusaha dan bersiap sedia menghadapi risiko kehidupan dan ianya bukanlah satu usaha yang ingin melawan takdir Allah SWT. Takaful, iaitu insurans berasaskan muamalat Islam merupakan satu kaedah persiapan atau ikhtiar untuk menghadapi sebarang ketidakpastian yang mungkin berlaku pada diri sendiri atau ahli keluarga.

Kesedaran masyarakat tentang tentang  takaful semakin meningkat dengan adanya kemudahan takaful perubatan, yang mana peserta takaful boleh mendapatkan manfaat bayaran rawatan bil kos rawatan di hospital. Namun begitu, perlindungan takaful bukanlah semata-mata hanya untuk manfaat perubatan sahaja, dan ianya adalah berdasarkan kepada keperluan seseorang individu. Umpamanya keperluan takaful untuk seorang ayah adalah berbeza berbanding dengan seorang anak kecil yang masih belum mempunyai tanggungan.

Seorang ayah perlu memberi keutamaan kepada pembentukan dana penggantian pendapatan melalui skim takaful kerana  ianya adalah satu instrumen mudah, murah, cepat dan pasti dalam pembentukan dana penggantian pendapatan. Kelebihan ketara adalah dana ini boleh dihibahkan tanpa perlu proses faraid. Harta-harta lain tertakluk kepada pembahagian secara faraid yang mungkin mengambil masa untuk diselesaikan. Dengan adanya dana dari takaful, proses penerimaan duit kepada penerima hibah adalah lebih cepat dan ianya amat berguna sekiranya si penerima adalah seorang isteri yang bakal menggalas tanggungjawab seorang ayah yang telah pergi selamanya tidak lagi kembali.

Dalam dunia sekarang ramai yang melalui kehidupan dengan berhutang. Majoriti dari kita berhutang untuk membeli kereta, rumah dan juga membiayai pendidikan. Berhutang atas keperluan kehidupan yang moden yang perlu disediakan bagi membina kehidupan normal. Bagaimana sekiranya kita meninggalkan dunia ini sebelum sempat melunaskan hutang tersebut? Sebagai seorang Muslim, hutang wajib dibayar dan tanggungjawab ini terpaksa digalas oleh waris terdekat. Apa akan terjadi sekiranya waris terutamanya isteri tidak mempunyai sumber kewangan yang cukup untuk melunaskan hutang yang ditinggalkan oleh si suami?

Perancangan kewangan perlu dibuat dari awal untuk pastikan bagaimana hutang piutang kita boleh diuruskan dan ditadbirkan dengan baik oleh waris terdekat sepeninggalan kita nanti dari dunia ini.Dengan adanya dana dari takaful, waris terdekat boleh menggunakan wang dari dana ini untuk melangsaikan hutang setelah ketiadaan kita nanti.

Untungnya para Muslim sekarang ini kerana para pengendali takaful telah membangunkan pelbagai produk-produk komprehensif berasaskan syariah bagi melindungi risiko peserta-peserta takaful. Pelan takaful berkaitan pelaburan merupakan satu pelan perlindungan yang menjadi pilihan ramai kerana ianya mempunyai pelbagai manfaat perlindungan tambahan. Selain daripada perlindungan kematian, hilang upaya kekal, sakit kritikal, kad perubatan, antara ciri menarik terdapat dalam pelan ini adalah penggantian pelaburan. Ketika  anda kehilangan keupayaan untuk meneruskan bayaran sumbangan ke dana takaful,ketidakupayaan ini boleh dikawal sekiranya anda mengambil manfaat penggantian atau lebih dikenali sebagai pengenepian sumbangan atau manfaat  faedah pembayar.

Dengan adanya manfaat ini, walaupun sumbangan bulanan tidak lagi perlu dibayar akibat dari ketidakupayaan, peserta takaful boleh terus menikmati manfaat perlindungan termasuk kad perubatan dan juga sumbangan polisi takaful berterusan yang sebahagiannya akan dilaburkan ke dalam dana unit amanah dan keuntungan dimasukkan ke dalam tabung takaful bagi membolehkan anda menikmati simpanan sehingga tamat tempoh takaful anda.

Kesimpulannya, pelan takaful yang terbaik adalah yang sesuai dengan keperluan dan bajet kewangan anda. Apa yang anda perlu tahu adalah menyertai takaful tidak sama seperti menyertai keahlian kelab golf, kerana anda perlu sertai takaful pada ketika anda tidak perlukan manfaatnya. Sekiranya anda ingin menyertai takaful pada waktu anda memerlukannya, kemungkinan besar permohonan anda akan ditolak oleh pengendali takaful. Rancang kewangan bukan sekadar ingin menjadi seorang yang bijak menguruskan wang semasa sihat dan mempunyai berpendapatan dan simpanan yang tinggi, namun juga untuk mentadbirkan risiko kerugian kewangan di saat kita tidak lagi berupaya untuk menjana pendapatan bagi menyara diri sendiri mahupun keluarga tercinta.

 

Disediakan oleh,

Ahmad Humaizi bin Mat Noor
Perunding Kewangan Islam

Teknik Pengurusan Hutang

Ramai yang berhadapan dengan masalah hutang. Bagi anda yang tercari-cari apakah penyelesaian untuk keluar dari belenggu hutang, boleh dapatkan sedikit tips yang saya kongsikan dalam Harian Metro ini.

pengurusan hutang

Artikel Penuh di bawah ini:-

Hutang adalah sesuatu yang ajaib, kerana dengan hutang, ada yang menjadi kaya-raya dan pada masa yang sama ada yang jatuh bankrap menjadi papa kedana dek kerana hutang. Hutang itu bukan menjadi satu masalah bagi seseorang yang bijak merancang kewangan, kerana ianya boleh mendatangkan manfaat bagi yang tahu menjana wang dengan berhutang. Namun begitu, ramai yang mengalami masalah hutang yang kronik kerana mereka meminjam untuk membeli barang-barang yang tidak akan bertambah nilai dan makin susut nilainya. Inilah dikatakan hutang lapuk.

Bagi sesiapa yang mempunyai masalah hutang lapuk, ambillah masa untuk mengurus hutang anda. Untuk jadi seorang yang bijak dalam merancang kewangan, bukan wang sahaja yang perlu diurus dengan baik, hutang pun perlu ditadbir dengan baik supaya ia tidak menjadi beban yang berat untuk dipikul.

Sebenarnya, pengurusan hutang bukanlah satu aktiviti yang merumitkan dan ianya harus bermula dengan keinginan untuk menyelesaikan hutang lapuk  dengan strategi yang betul. Lazimnya, apabila berbicara tentang pengurusan hutang, ramai pula mengambil pendekatan senyap atau lari dari menjelaskan hutang.

Ada yang tahap kronik sehinggakan tak sanggup untuk buka kandungan surat dari bank yang mengandungi penyata hutang. Namun, apa yang mereka dapat sekiranya memilih untuk lari dari masalah hutang? Adakah dengan lari masalah hutang akan selesai dan pihak bank akan memberikan mereka diskaun atas faedah hutang? Sudah tentu tidak sama sekali. Bagi seorang Muslim, perkara hutang bukan perkara kecil. Hutang pada seorang Muslim wajib dibayar, malah waris bertanggungjawab melangsaikan hutang si mati sekiranya ada.

Sebenarnya kita sendiri boleh tahu mengapa keadaan hutang kita jadi tidak terurus. Tentunya akibat kelemahan kita sendiri. Kita sendiri takut hendak menghadapi kenyataan, berapa banyak jumlah hutang yang sedang kita hadapi. Sekiranya hutang tersebut tidak dapat dijelaskan hingga bertahun-tahun lamanya, kadar faedah serta denda yang dikenakan oleh pihak bank boleh mencecah puluhan ribu ringgit. Jika anda mahu menangani isu hutang, anda harus memberanikan diri menghadapi kenyataan sebenar serta bersikap positif. Seandainya anda bertekad ingin menjelaskan hutang, pasti ada penyelesaiannya.

Di sini ada beberapa langkah yang anda boleh ambil untuk uruskan hutang dengan berkesan:

Langkah Pertama: Hentikan dari Membuat Hutang Baru

Ini adalah langkah yang paling penting perlu diambil iaitu berhenti daripada membuat hutang yang baru terutamanya hutang yang melibatkan kad kredit. Untuk apa jua pembelian seterusnya perlu dibuat secara tunai. Sekiranya anda terpaksa berhutang, itu bermaksud anda belum mampu untuk miliki barang tersebut.  Kumpulkan duit untuk miliki barang tersebut dan beli secara tunai saja.

Langkah Kedua: Buat Daftar Hutang.

Anda perlu mempunyai senarai daftar hutang untuk menyusun kembali hutang. Apakah jenis hutang yang anda miliki dan berapa nilai kesemuanya? Berapa jumlah ansuran bulanannya? Berapa lagi tempoh bayaran balik? Ada bercagar atau tidak? Mempunyai perlindungan atau tidak?

Bila ada satu daftar hutang, anda boleh buat analisa dan mengira berapakah jumlah faedah yang akan anda bayar untuk menjelaskan hutang tersebut. Lumrahnya, hutang yang dikenakan kadar faedah yang paling tinggi seperti hutang kad kredit adalah hutang yang paling membebankan anda. Oleh itu anda perlu mengambil langkah untuk membayar hutang kad kredit dengan jumlah sebanyak yang mungkin dan dalam tempoh yang paling cepat. Jangan sekali-kali membayar lewat kerana anda akan dikenakan caj kelewatan yang akan membebankan lagi keadaan anda.

Daftar hutang ini boleh dibuat dengan mudah dengan membina satu jadual dengan menyenaraikan setiap hutang kad kredit/ pinjaman peribadi yang anda perlu lunaskan. Jalankan simulasi bagaimana hutang anda sebenarnya akan dapat dilunaskan lebih awal jika bayaran dibuat lebih daripada bayaran minima..

Langkah Ketiga: Gunakan duit lebihan untuk bayar hutang

Lebihan wang boleh datang dari penjimatan yang dijalankan setiap bulan, ataupun bonus tahunan. Wang lebihan ini lebih untung untuk dibayar hutang daripada disimpan dalam simpana tetap. Pengiraannya mudah saja, simpanan tetap di bank pulangannya amat rendah berbanding faedah hutang kad kredit anda!

Langkah Keempat: Pemindahan Baki Kad Kredit

Bagi anda yang mempunyai hutang kad kredit, anda perlu rajin mencari maklumat yang boleh menguntungkan anda dari segi mengurangkan faedah yang dikenakan ke atas hutang anda. Terdapat beberapa bank menawarkan produk yang membolehkan anda memindah baki hutang kad kredit anda dengan sebuah bank kepada mereka tanpa sebarang faedah dikenakan. Ini akan menjimatkan anda dan bolehlah menggunakan sejumlah wang yang sepatutnya anda bayar faedah pinjaman untuk mengurangkan baki pokok hutang anda.

Langkah Kelima: Selesai Satu Hutang, gandakan pembayaran hutang lain.

Inilah untungnya bagi anda yang mempunyai daftar hutang,  dimana anda boleh tetapkan keutamaan untuk selesaikan mana-mana hutang terdahulu. Bila dah selesai satu hutang, bukan saja anda lebih bermotivasi untuk selesaikan hutang-hutang lain dalam senarai, malah anda boleh gunakan lebihan wang tersebut untuk gandakan pembayaran hutang lain pula.

Langkah Keenam : Bina pendapatan kedua

Pada dasarnya, hutang terbentuk bukan kerana tidak cukup wang, namun kita tidak berupaya mengawal nafsu untuk memiliki sesuatu yang diluar kemampuan. Bagi sesiapa yang sudah mempunyai kesedaran untuk menguruskan hutang, maknanya anda sudah insaf dan tidak akan mengulangi ‘dosa’ yang lalu. Dengan itu, fikirkan cara bagaimana untuk bina pendapatan kedua dan hasil dari pendapatan ini gunakan sepenuhnya untuk membayar hutang-hutang lapuk sediada. Jangan pula dengan adanya wang tambahan ini anda mula memasang impian untuk tukar kereta baru!

Adalah diharapkan beberapa panduan ini boleh membantu anda menyelesaikan hutang lapuk yang ditanggung sekarang ini. Apa yang pentingnya di sini adalah anda mempunyai matlamat yang jelas bila ingin selesaikan hutang lapuk tersebut dan mulakan tindakan hari ini juga. Alangkah leganya apabila satu persatu hutang sudah dilangsaikan dan gambarkan perasaan gembira yang bakal anda tempuhi dengan bebas dari hutang. Perasaan lega bercampur syukur yang tidak terhingga kepada Allah sebab dengan izin-Nya diberi ruang untuk keluar daripada beban hutang tersebut.