Apa Manfaat Dalam Sijil Takaful Anda?

Artikel tentang manfaat Takaful ini disiarkan dalam Sinar Harian yang diolah oleh Great Eastern Takaful. Satu artikel yang bagus kerana ramai Muslim kini telah menyertai takaful, namun berapa ramai yang tahu apa manfaat yang mereka sertai? Apakah sekadar Medical Card, atau Perlindungan Kematian disebabkan Kemalangan? Sekiranya anda telah sertai Takaful, jom semak apa yang terkandung dalam sijil takaful anda hari ini juga!

MANFAAT Takaful merupakan antara elemen paling penting bagi peserta takaful kerana ianya merujuk kepada jumlah wang pampasan yang bakal diperoleh seseorang penama apabila peserta ditimpa musibah dan dalam erti kata lain, kematian. Dengan wujudnya manfaat takaful ini, secara tidak langsung ianya dapat meringankan beban yang ditanggung oleh peserta dan ahli keluarga peserta Takaful.

Sebagai contoh, manfaat takaful yang diperolehi boleh digunakan bagi menyelesaikan segala bebanan hutang si mati yang mana penyelesaian hutang amatlah dituntut oleh Islam sejajar dengan hadis Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud: “Sesungguhnya sebaik-baik kamu ialah yang paling baik membayar hutang”. (Sahih Muslim). Walaupun begitu, pemberian manfaat takaful ini mestilah dilakukan melalui proses penamaan semasa hayat Peserta takaful itu sendiri.

Kelebihan Penamaan dalam Sijil Takaful

Merujuk kepada Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, Peserta takaful mempunyai dua pilihan dalam melakukan penamaan.

Yang pertama, mana-mana peserta takaful layak untuk melantik individu yang diingini untuk menerima manfaat takaful sebagai penerima dan pemilik manfaat. Yang kedua, peserta boleh melantik mana-mana individu untuk menjadi pemegang amanah atau Wasi. Rasulullah bersabda, maksudnya, “Jika engkau tinggalkan keluargamu dalam keadaan baik (kaya), itu lebih bagus daripada engkau tinggalkan mereka menadahkan tangan meminta-minta kepada orang ramai.” (Sahih Bukhari)

Penama-penama ini akan memperoleh manfaat takaful apabila berlaku musibah kematian ke atas peserta Takaful. Walau bagaimanapun, terdapat perbezaan di antara penerima manfaat takaful dan pemegang amanah atau Wasi untuk manfaat takaful.

Dalam pilihan yang pertama tadi, pemberian manfaat takaful ini akan menjadi milik penerima secara mutlak bahkan tidak tertakluk pada hutang si mati. Ini kerana kontrak yang mendasari pemberian ini adalah berdasarkan konsep Hibah bersyarat.

Setelah mana kematian peserta Takaful, maka syarat untuk menerima manfaat takaful secara automatik akan menjadi milik penama. Peserta Takaful boleh menukar nama individu yang bakal memperoleh manfaat takaful pada bila-bila masa dan tidak perlu mendapat persetujuan daripada penama lain ketika beliau masih lagi hidup.

Penamaan yang ditawarkan di dalam Takaful sangatlah fleksibel kerana peserta takaful boleh melantik mana-mana individu tidak mengira latarbelakang agama yang dianuti serta bangsa.

Malah pemberian ini tidak boleh dicabar oleh mana-mana ahli waris si mati kerana manfaat tersebut telah dipindah milik kepada penama dan proses penamaan telah berlaku ketika hayat peserta Takaful tanpa ada sebarang keraguan.

Antara kelebihan dalam pemberian manfaat takaful ialah manfaat ini akan diberikan dengan kadar segera kepada penama dan tidak tertakluk kepada harta pusaka si mati. Dengan adanya manfaat sebegini rupa, maka ianya sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban keluarga sekiranya berlaku kematian ke atas ketua rumah atau sebagainya.

Jika terdapat ahli waris yang menjadi penerima manfaat takaful, sebagai contoh isteri, beliau bolehlah menggunakan wang pampasan tersebut untuk meringankan tanggungan selepas kematian suaminya bagi meneruskan kelangsungan hidup keluarga beliau dan anak-anak. Perkara ini selaras dengan hadis Nabi Muhammad S.A.W:

“Jika engkau tinggalkan keluargamu dalam keadaan baik (kaya), itu lebih bagus daripada engkau tinggalkan mereka menadahkan tangan meminta-minta kepada orang ramai.” (Sahih Bukhari)

Pilihan kedua adalah melantik penama sebagai pemegang amanah atau Wasi. Manfaat tersebut tidak akan menjadi milik Wasi namun, Wasi mempunyai tugas dan tanggungjawab untuk menguruskan manfaat takaful tersebut kepada ahli waris si mati secara hukum Faraid bagi yang beragama Islam dan bagi yang bukan Islam mengikut undang-undang yang berkaitan dengan mereka.

Dalam hal ini, manfaat takaful akan dikira sebagai harta mutlak si mati dan akan tertakluk kepada hutang si mati sekiranya ada. Sekiranya peserta tidak melakukan penamaan ketika menyertai sijil Takaful, ahli waris terpaksa melalui pelbagai proses yang merumitkan supaya pihak pengendali takaful dapat menyerahkan tuntutan manfaat takaful kepada ahli waris yang berhak selepas kematian peserta.

Dalam hal ini, sewajarnya tidak boleh menyalahkan pihak pengendali Takaful sekiranya berlaku kelewatan dalam proses pemberian manfaat Takaful tersebut.

Oleh yang demikian para Peserta takaful haruslah bijak dalam membuat penamaan bagi memenuhi tujuan dan matlamat yang akan memberi kemudahan kepada semua pihak termasuk ahli keluarga seterusnya pihak pengendali takaful bagi peningkatan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan. Wallahu’alam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *