Skim Persaraan Swasta

Soalan Lazim Mengenai Skim Persaraan Swasta (PRS)

 

1. Apakah skim persaraan swasta?

Skim persaraan swasta (PRS) ialah satu skim pelaburan sukarela jangka panjang yang direka untuk membantu individu membuat simpanan bagi persaraan mereka. Skim ini melengkapkan caruman mandatori yang dibuat kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Setiap Skim Persaraan Swasta PRS mengandungi pelbagai dana persaraan yang boleh dipilih oleh individu untuk melabur berdasarkan keperluan persaraan mereka sendiri, matlamat dan ketahanan risiko. Pilihan dana bawah PRS perlu konsisten dengan objektif membina simpanan dan memastikan tebaran risiko yang berhati-hati.

 

2. Apakah skop pembaharuan pencen swasta yang dilakukan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia?

Pengenalan kerangka skim persaraan swasta adalah hasil daripada cadangan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) kepada Kerajaan bagi mempercepatkan pembangunan industri pencen swasta di Malaysia.

Skim persaraan swasta membentuk satu ciri penting dalam industri pencen swasta dengan objektif untuk menambah baik standard kehidupan bagi warga Malaysia melalui dana simpanan tambahan.

Industri PRS membentuk tunggak ketiga dalam kerangka pencen pelbagai tunggak dan akan melengkapkan skim simpanan persaraan mandatori Malaysia.

 

3. Apakah kerangka pengawalseliaan yang mentadbir PRS?

Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA), Peraturan Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2012 (Industri Skim Persaraan Swasta) (Peraturan PRS) dan Garis panduan Skim Persaraan Swasta (Garis panduan PRS) membentuk kerangka pengawalseliaan bagi industri PRS di Malaysia.

Pindaan 2011 terhadap CMSA menetapkan kerangka pengawalseliaan dan penyeliaan bagi industri skim persaraan swasta (PRS) berkuat kuasa pada 3 Oktober 2011. Bawah Bahagian IIIA CMSA yang baharu, SC mengawal selia peserta utama dalam industri PRS seperti yang berikut:

(a) Pentadbir Skim Persaraan Swasta;

(b) Penyedia Skim Persaraan Swasta (Penyedia PRS);

(c) Skim Persaraan Swasta (Skim PRS);

(d) Pemegang Amanah bagi Skim Persaraan Swasta (Pemegang Amanah Skim); dan

(e) Pemegang Amanah kepada Majikan – Skim Persaraan Tajaan (Pemegang Amanah Majikan).

Peraturan PRS menetapkan tugas dan tanggungjawab Penyedia PRS dan Pemegang Amanah Skim, serta peraturan kelulusan bagi Skim PRS, pendaftaran dan pengemukaan surat ikatan amanah dan dokumen penzahiran serta peruntukan lain mengenai pendaftaran ahli dan perjumpaan ahli.

Garis panduan PRS bermatlamatkan kepada menyediakan persekitaran pengawalseliaan yang akan menjaga kepentingan pencarum PRS.

 

4. Apakah bahagian penting dalam kerangka PRS?

Kerangka PRS mengandungi Penyedia PRS yang diluluskan, setiap satu menawarkan pelbagai jenis pilihan dana bawah PRS, yang asetnya diasingkan dan dipegang oleh Pemegang Amanah Skim bebas bawah satu amanah.

Undang-undang juga memperuntukkan penubuhan Pentadbir Pencen Swasta yang bertanggungjawab bagi pengendalian satu sistem pentadbiran yang cekap bagi industri PRS.

Kerangka tersebut disokong kuat oleh struktur pengawalseliaan dan penyeliaan yang kukuh berasaskan objektif pengawalseliaan SC bagi memastikan kawal selia dan pengawasan yang cergas terhadap industri PRS, menggalakkan kepercayaan dan keyakinan dalam Skim PRS dan melindungi kepentingan ahli.

skim persaraan swasta

5. Apakah ciri-ciri kerangka tersebut bagi memastikan struktur pengawalseliaan dan penyeliaan yang kukuh?

Semua pengantara yang berkaitan dengan industri Skim Persaraan Swasta (PRS), iaitu Penyedia PRS, Pentadbir Pencen Swasta, Pemegang Amanah Skim dan pengedar PRS, perlu mendapat kelulusan SC untuk beroperasi dan tertakluk kepada peraturan pengawalseliaan dan pengawasan yang berterusan.

Skim Persaraan Swasta (PRS) akan beroperasi sebagai struktur amanah dengan Pemegang Amanah Skim bagi memastikan aset dana itu diasingkan daripada Penyedia PRS. Dana bawah PRS akan diuruskan secara profesional oleh Penyedia PRS dengan tujuan memenuhi objektif persaraan ahli. Selain itu, peruntukan mengenai pemberian caruman dan hak terhadap manfaat terakru yang dinyatakan dalam CMSA memastikan bahawa manfaat terakru itu akan diberikan kepada ahli bagi memenuhi keperluan persaraan mereka. (Manfaat terakru dalam CMSA bermakna jumlah kepentingan benefisial ahli dalam sesuatu skim persaraan).

Kerangka pengawalseliaan dan pengawasan yang kukuh akan memastikan kepentingan ahli dijaga dan dilindungi, integriti industri PRS didukung, risiko dipantau dengan betul dan kestabilan sistem dikekalkan.

Selain kuasa pengawasan, penyiasatan dan penguatkuasaan SC, SC juga mempunyai kuasa untuk mengeluarkan arahan terhadap pengantara dalam industri PRS. Kuasa SC untuk mengeluarkan arahan termasuk boleh mengarahkan pengantara mematuhi undang-undang, garis panduan, syarat-syarat atau sekatan, atau mengambil tindakan.

 

6. Apakah peranan Pentadbir Pencen Swasta (PPA)?

  •  PPA merujuk kepada pentadbir skim persaraan swasta seperti yang dinyatakan bawah seksyen 139A CMSA. Tugas dan tanggungjawab PPA bawah undang-undang (Seksyen 139H CMSA) termasuk mengambil kira pertimbangan kepentingan awam dalam bertindak bagi kepentingan ahli dan mengutamakan keperluan untuk melindungi ahli.
  •  PPA akan menggalakkan kecekapan dan kemudahan kepada ahli melalui:
  •  Memudahcarakan dan menyimpan semua transaksi berkaitan PRS yang dibuat ahli;
  • Memudahcarakan pergerakan antara Penyedia PRS; dan melaksanakan penggalakan dan pendidikan/kesedaran umum di kalangan PRS.

7. Apakah insentif cukai bagi caruman kepada PRS?

Seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2012:

  • Pelepasan cukai sehingga RM3,000 setahun akan diberikan kepada caruman individu kepada PRS; dan
  • Majikan akan juga diberikan potongan cukai atas caruman kepada PRS yang dibuat bagi pihak pekerja sehingga 19% daripada pendapatan pekerja.

 

8. Apakah yang akan berlaku selanjutnya?

  •  Penyedia PRS yang diluluskan akan diberi masa enam bulan dari tarikh kelulusan mereka oleh SC bagi mematuhi syarat-syarat kelulusan tersebut yang termasuklah mendapatkan kelulusan SC bagi skim dan dana bawah Skim PRS.
  • Pentadbir Pencen Swasta akan ditubuhkan.
  • SC akan melesenkan pengedar bagi berurusan dalam PRS.
Sumber ini diambil dari laman web http://www.sc.com.my

Skim Persaraan Swasta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave A Response

* Denotes Required Field

Current day month ye@r *