Menguruskan kewangan dengan baik bukan setakat mempunyai rekod perbelanjaan keluar masuk wang, namun juga merancang dan mencipta satu dana untuk menguruskan kerugian kewangan akibat dari terjadinya risiko-risiko yang bakal berlaku dalam kehidupan kita. Risiko kehilangan kewangan dalam keluarga akan terjadi apabila salah seorang penyumbang kepada pendapatan meninggal dunia, mengalami kecacatan kekal, kemalangan, sakit kritikal yang menyebabkan tiada kemasukan wang untuk menyara kehidupan.
Artikel mengenai Perlindungan Kewangan ini disiarkan di Harian Metro.
Seorang ketua keluarga perlu berusaha dan bersiap sedia menghadapi risiko kehidupan dan ianya bukanlah satu usaha yang ingin melawan takdir Allah SWT. Takaful, iaitu insurans berasaskan muamalat Islam merupakan satu kaedah persiapan atau ikhtiar untuk menghadapi sebarang ketidakpastian yang mungkin berlaku pada diri sendiri atau ahli keluarga.
Kesedaran masyarakat tentang tentang takaful semakin meningkat dengan adanya kemudahan takaful perubatan, yang mana peserta takaful boleh mendapatkan manfaat bayaran rawatan bil kos rawatan di hospital. Namun begitu, perlindungan takaful bukanlah semata-mata hanya untuk manfaat perubatan sahaja, dan ianya adalah berdasarkan kepada keperluan seseorang individu. Umpamanya keperluan takaful untuk seorang ayah adalah berbeza berbanding dengan seorang anak kecil yang masih belum mempunyai tanggungan.
Seorang ayah perlu memberi keutamaan kepada pembentukan dana penggantian pendapatan melalui skim takaful kerana ianya adalah satu instrumen mudah, murah, cepat dan pasti dalam pembentukan dana penggantian pendapatan. Kelebihan ketara adalah dana ini boleh dihibahkan tanpa perlu proses faraid. Harta-harta lain tertakluk kepada pembahagian secara faraid yang mungkin mengambil masa untuk diselesaikan. Dengan adanya dana dari takaful, proses penerimaan duit kepada penerima hibah adalah lebih cepat dan ianya amat berguna sekiranya si penerima adalah seorang isteri yang bakal menggalas tanggungjawab seorang ayah yang telah pergi selamanya tidak lagi kembali.
Dalam dunia sekarang ramai yang melalui kehidupan dengan berhutang. Majoriti dari kita berhutang untuk membeli kereta, rumah dan juga membiayai pendidikan. Berhutang atas keperluan kehidupan yang moden yang perlu disediakan bagi membina kehidupan normal. Bagaimana sekiranya kita meninggalkan dunia ini sebelum sempat melunaskan hutang tersebut? Sebagai seorang Muslim, hutang wajib dibayar dan tanggungjawab ini terpaksa digalas oleh waris terdekat. Apa akan terjadi sekiranya waris terutamanya isteri tidak mempunyai sumber kewangan yang cukup untuk melunaskan hutang yang ditinggalkan oleh si suami?
Perancangan kewangan perlu dibuat dari awal untuk pastikan bagaimana hutang piutang kita boleh diuruskan dan ditadbirkan dengan baik oleh waris terdekat sepeninggalan kita nanti dari dunia ini.Dengan adanya dana dari takaful, waris terdekat boleh menggunakan wang dari dana ini untuk melangsaikan hutang setelah ketiadaan kita nanti.
Untungnya para Muslim sekarang ini kerana para pengendali takaful telah membangunkan pelbagai produk-produk komprehensif berasaskan syariah bagi melindungi risiko peserta-peserta takaful. Pelan takaful berkaitan pelaburan merupakan satu pelan perlindungan yang menjadi pilihan ramai kerana ianya mempunyai pelbagai manfaat perlindungan tambahan. Selain daripada perlindungan kematian, hilang upaya kekal, sakit kritikal, kad perubatan, antara ciri menarik terdapat dalam pelan ini adalah penggantian pelaburan. Ketika anda kehilangan keupayaan untuk meneruskan bayaran sumbangan ke dana takaful,ketidakupayaan ini boleh dikawal sekiranya anda mengambil manfaat penggantian atau lebih dikenali sebagai pengenepian sumbangan atau manfaat faedah pembayar.
Dengan adanya manfaat ini, walaupun sumbangan bulanan tidak lagi perlu dibayar akibat dari ketidakupayaan, peserta takaful boleh terus menikmati manfaat perlindungan termasuk kad perubatan dan juga sumbangan polisi takaful berterusan yang sebahagiannya akan dilaburkan ke dalam dana unit amanah dan keuntungan dimasukkan ke dalam tabung takaful bagi membolehkan anda menikmati simpanan sehingga tamat tempoh takaful anda.
Kesimpulannya, pelan takaful yang terbaik adalah yang sesuai dengan keperluan dan bajet kewangan anda. Apa yang anda perlu tahu adalah menyertai takaful tidak sama seperti menyertai keahlian kelab golf, kerana anda perlu sertai takaful pada ketika anda tidak perlukan manfaatnya. Sekiranya anda ingin menyertai takaful pada waktu anda memerlukannya, kemungkinan besar permohonan anda akan ditolak oleh pengendali takaful. Rancang kewangan bukan sekadar ingin menjadi seorang yang bijak menguruskan wang semasa sihat dan mempunyai berpendapatan dan simpanan yang tinggi, namun juga untuk mentadbirkan risiko kerugian kewangan di saat kita tidak lagi berupaya untuk menjana pendapatan bagi menyara diri sendiri mahupun keluarga tercinta.
Disediakan oleh,
Ahmad Humaizi bin Mat Noor
Perunding Kewangan Islam