Assalamualaikum Semua,
Isu Zakat dan bayar sendiri secara terus kepada penerima. Ramai yang praktis sebegini. Alhamdulillah, hari ini, 15 Nov 2013 ada paparan menarik mengenai isu ini disiarkan dalam Utusan Malaysia. Semoga boleh menjadi panduan untuk kita semua.
DI dalam Islam telah disyariatkan agar umat Islam yang mahu berzakat, hendaklah mengutamakan pemberian zakatnya kepada pihak amil (institusi zakat) yang telah dilantik oleh pihak pemerintah Islam. Ini kerana, daripada aspek pengagihan zakat, maka para amil sepatutnya lebih tahu, lebih mahir dan lebih saksama dan adil dalam agihannya. Atas dasar itu jugalah, para fuqaha menyarankan, bahawa tidak boleh seseorang muzakki (pembayar) itu mengeluarkan sendiri zakatnya, melainkan ia hendaklah diserahkan kepada amil yang telah disediakan.
Imam al-Qurtubi menyatakan: “Apabila pemerintah berlaku adil dalam mengambil dan membahagikan harta zakat, maka tidak boleh bagi pemilik harta mengagihkannya sendiri zakatnya.” Manakala Athaâ pula berkata: “Berikanlah zakat itu kepada pemerintah apabila mereka mengeluarkannya tepat kepada sasarannya.” (Eksklusif Zakat, hal. 110)
Apa yang berlaku, seandainya muzakki itu mengeluarkan sendiri zakatnya tanpa amil, dia mungkin tidak begitu mengetahui latar belakang penerimanya, maka di saat itulah dia mudah ditipu. Harus diingat, tersalah memberi sedekah adalah tidak sama dengan tersalah memberikan zakat, kerana sedekah adalah sunat hukumnya sedangkan zakat adalah ibadah rukun yang fardu, maka ada kaedah sah dan batalnya.
Dek kerana itulah, ada fuqaha yang mewajibkan, jika seseorang itu tersalah berzakat sehingga terjatuh kepada si penipu, maka wajib atas dirinya mengeluarkan sekali lagi zakatnya dan jika dia tidak mengeluarkannya, dia dikira masih berhutang kepada Allah SWT.
Kesimpulannya, tunaikanlah zakat kepada pihak amil yang telah disediakan dan tidaklah menjadi kesalahan bagi muzakki untuk memantau agihan yang dilaksanakan oleh pihak amil. Seandainya terbukti pihak amil menyeleweng zakat, maka berikanlah teguran yang wajar.
Jika memang didapati pihak amil telah gagal memikul tugas mengagih zakat dengan berkesan, maka kala itu baharulah ulama memberikan izin agar muzakki memberikan zakatnya sendiri kepada penerima. Seandainya itu belum terjadi, maka sentiasalah mengutamakan institusi zakat, demi menjamin agihan yang lebih tepat dan berkesan terlaksana. Wallahuaâlam.