APABILA anda mengambil pelan Takaful, anda tentu mengharapkan perlindungan dan manfaat sebagaimana yang telah dipersetujui dan termaktub dalam akad yang ditandatangani.
Anda mahu pelan takaful yang diambil berbaloi dengan jumlah caruman yang dibuat sepanjang tempoh perlindungan sijil.
Oleh itu, sebelum mengambil sebarang pelan Takaful seperti kad perubatan atau pelan berkaitan pelaburan, ada beberapa perkara penting yang perlu anda ketahui. Hal ini bagi mengelak permohonan anda ditolak, sukar apabila membuat tuntutan atau caruman menjadi mahal.
Maklumat berikut juga diharap dapat membantu anda ketika berbincang dengan perunding takaful untuk merangka pelan takaful yang betul dan menepati keperluan anda.
Jenis pelan yang diambil
Dapatkan khidmat perunding takaful untuk menjelaskan manfaat yang anda perlukan dan pastikan anda mendapat manfaat-manfaat tersebut daripada pelan yang disertai.
Anda mungkin mengambil sesuatu pelan dan mungkin tidak memahami perlindungan apa sebenarnya yang diambil. Sebagai contoh, pelan takaful berkaitan pelaburan mempunyai manfaat perlindungan dan pelaburan. Anda perlu tahu caruman untuk pelan tersebut akan diletakkan ke dalam dua dana yang berbeza iaitu dana pelaburan dan dana perlindungan.
Jika anda mahukan potensi pulangan pelaburan yang lebih, maka peratusan caruman anda akan dilebihkan kepada dana pelaburan. Ini juga bermakna jumlah manfaat perlindungan yang akan dibayar kepada anda sekiranya terdapat tuntutan akan lebih rendah.
Oleh itu, penting untuk anda membuat keputusan yang betul dalam menetapkan peratusan jumlah pelaburan dan perlindungan mengikut keperluan anda. Terdapat juga beberapa manfaat yang dibayar hanya jika terma dan syarat dipenuhi lebih-lebih lagi manfaat berbentuk kewangan.
Pastikan anda maklum mengenai terma dan syarat tersebut supaya tidak berasa kecewa atau tertipu jika tidak dapat menikmati manfaat tersebut kerana tidak memenuhi terma dan syarat yang telah ditetapkan.
Umur
Umur adalah antara faktor utama dalam menentukan sumbangan atau caruman bulanan takaful seseorang. Semakin tinggi risiko (disebabkan faktor umur), maka semakin mahal caruman yang perlu dibayar.
Boleh dikatakan semua pelan takaful kanak-kanak boleh diambil seawal umur 30 hari manakala lain-lain pelan takaful pula seawal umur 19 tahun. Oleh itu, jangan berlengah untuk membuat keputusan mengambil pelan perlidungan bagi mengelak anda daripada membayar caruman yang lebih mahal.
Jantina
Walaupun pada umumnya, caruman untuk wanita lebih rendah daripada lelaki, wanita perlukan kesedaran tentang pelbagai jenis penyakit khusus kepada wanita yang mungkin tidak dilindungi dengan pelan perubatan sedia ada. Oleh itu mereka perlu mengambil manfaat tambahan khas bagi penyakit berkaitan wanita seperti kanser payudara atau rahim.
Merokok
Perokok mempunyai risiko kesihatan yang sangat tinggi. Secara amnya, individu perokok lebih berkemungkinan untuk menghidap penyakit kronik daripada bukan perokok.
Golongan perokok ini masih berpeluang mengambil pelan takaful, namun perlu bersedia untuk membayar caruman yang lebih tinggi berbanding individu yang tidak merokok.
Berbincanglah dengan perunding takaful anda untuk mengetahui caruman yang perlu anda bayar setiap bulan.
Penyakit sedia ada
Nyatakan status kesihatan anda secara telus ketika mengisi borang permohonan. Jika anda ada masalah kesihatan atau sejarah perubatan sebelum ini, anda wajib memberitahu perunding takaful anda supaya tidak berlaku sebarang masalah ketika membuat tuntutan nanti.
Pengendali takaful tidak akan menanggung kos perubatan penyakit sedia ada dan kadar sumbangan yang lebih tinggi akan dikenakan kepada pemohon yang mempunyai risiko yang lebih tinggi.
Tempoh menunggu
Tuntutan bagi kad perubatan tidak boleh dibuat dalam tempoh menunggu iaitu maksimum 120 hari daripada tarikh sijil berkuatkuasa melainkan disebabkan kemalangan.
Jika dimasukkan ke wad disebabkan oleh penyakit-penyakit tertentu seperti kanser atau diabetes dalam masa 120 hari, pengendali takaful tidak akan menanggung kos perubatan tersebut. Ini kerana, penyakit-penyakit sebegitu dianggap sudah dihidapi sebelum mengambil pelan takaful.
Pekerjaan dan hobi
Jenis pekerjaan dan hobi anda akan menentukan apakah jenis perlindungan yang diperlukan dan berapakah amaun sumbangan yang bersesuaian. Pekerjaan dan hobi yang berbahaya dan berisiko tinggi terpaksa membayar caruman yang lebih tinggi berbanding pekerjaan yang berisiko rendah.
Sebagai contoh, caruman untuk jurutera pelantar minyak adalah lebih mahal kerana risiko mendapat kemalangan adalah lebih tinggi berbanding dengan orang yang bekerja di dalam pejabat.
Sijil takaful luput
Sijil takaful akan luput sekiranya anda terlepas membuat bayaran atau ada tunggakan. Kes begini sering terjadi jika pemegang sijil membuat bayaran secara manual setiap bulan. Bagi mengelakkan perkara ini berlaku, gunakan kemudahan pembayaran seperti potongan terus dari akaun bank atau kad kredit.
Anda juga boleh membuat bayaran secara tahunan untuk kemudahan. Jika sijil takaful telah luput, anda tidak boleh menikmati manfaat perlindungan pelan seperti menggunakan kad perubatan untuk kemasukan ke hospital. Ini juga merupakan sebab utama Guarantee Letter (GL) anda tidak dikeluarkan oleh pengendali takaful.
Tuntutan melebih had
Jika jumlah kos rawatan anda melebihi had tahunan atau seumur hidup, maka lebihan tidak akan ditanggung oleh pengendali takaful. Sebagai contoh, had tahunan anda RM75,000 dan had seumur hidup RM1,000,000.
Bermakna, dalam masa setahun anda hanya boleh membuat tuntutan sehingga RM75,000. Sekiranya bil melebihi RM75,000 anda perlu bayar selebihnya menggunakan wang sendiri.
Had seumur hidup pula merujuk kepada had jumlah tuntutan sepanjang tempoh perlindungan sijil yang akan dibayar tidak melebihi RM1,000,000. Pastikan anda mengambil pelan perlindungan yang boleh meningkatkan had-had tersebut apabila anda mampu berbuat demikian.
Pelbagai manfaat tambahan (rider) untuk keperluan berbeza
Terdapat pelbagai jenis rider yang ditawarkan bagi memenuhi keperluan yang berbeza. Misalnya, ada rider khusus untuk perlindungan wanita, kemalangan, penyakit kritikal, kad perubatan, pendapatan dan pelbagai lagi.
Oleh itu, penting untuk anda semak semula pelan perlindungan anda jika terdapat perubahan dalam status kehidupan anda seperti berkahwin atau memulakan keluarga dan lihat jika anda perlu menambah rider untuk mendapatkan perlindungan yang optimum.