Pelaburan
Assalamualaikum,
Entri hari ini saya mengambil artikel yang disiarkan oleh Utusan Malaysia, 24 Jan 2012. Amat menarik pendedahan yang dilaporkan, dan bagi saya, skim pelaburan sebegini akan terus menular dek kerana kebodohan manusia itu sendiri. Tiada jalan pintas untuk mendapat kekayaan. Kita perlu berusaha dan bekerja untuk dapatkan wang, bukannya dengan mempercayai janji-janji manis yang akhirnya jadi hempedu. Nak kata padan muka pada mereka ni kesian la pulak…tapi, sesungguhnya mereka perlu salahkan diri sendiri kerana tidak membuat kajian terlebih dahulu sebelum meleburkan duit simpanan mereka dalam skim yang haram ini.
ok lah…ini adalah artikel yang saya petik daripada Utusan Online:
LAMAN web sosial Facebook tidak dinafikan merupakan antara medan berinformasi berguna jika dipraktikkan dengan baik. Menyedari kemudahan dan kepentingannya, banyak pihak termasuk kerajaan memilih menyalurkan pelbagai maklumat menerusi laman web tersebut.Namun di sebalik manfaatnya, terdapat juga pihak yang tidak bersikap jujur ketika bersosial dan sanggup mengambil kesempatan termasuk memperkenalkan skim pelaburan cepat kaya.
Laman profil kini rancak dibanjiri oleh iklan-iklan seperti ‘ingin cepat kaya’, ‘duit secara infiniti’, ‘tanpa kerja dapat duit’, ‘jana duit melalui Internet’ dan sebagainya bagi menarik pelabur baru. Selain itu, kewujudan skim seakan-akan SwissCash, Forex (tukaran wang) dan seumpamanya juga semakin hari semakin berleluasa di Facebook.Keghairahan dalam mengejar kekayaan antara faktor mengapa ramai mudah tertipu dan terjebak dengan skim pelaburan seperti itu.
Wartawan dari Utusan Malaysia, MUHAMAD AMIRUL AFIQ MASTOR dan jurugambar, WAHIDIN SALIM menyingkap kisah di sebalik skim penipuan pelaburan di Internet terutama laman sosial Facebook serta mereka yang terlibat dalam skim-skim sebegini.
KUALA LUMPUR 23 Jan. – Walaupun pelbagai kisah telah dibongkar di sebalik penipuan pelaburan di Internet beberapa tahun lalu, namun masih ramai pengguna yang tidak serik untuk terus melabur. Bezanya, jika dahulu skim seperti SwissCash, Buy-e-barrel, Al-Arabic Fund dan ABB Fund merupakan pelaburan yang cukup popular dalam kalangan pengguna Internet, kini ia menular ke laman web sosial seperti Facebook. Modus operandinya tetap serupa – mencari mangsa yang ingin menjadi kaya dengan cara cepat dan mudah.
Pada masa sama, mereka bijak menukar medium kononnya wang pelaburan tersebut adalah untuk digunakan dalam perniagaan kayu gaharu, emas, minyak dan sebagainya. Malah, dengan hanya melayari Facebook, pelabur akan diberikan RM100 sebagai ganjaran. Bagaimanapun, wang ganjaran tersebut hakikatnya tidak akan diperoleh sehingga individu terbabit melakukan pelaburan yang sama.
Cara operasinya mudah, seperti bermain kutu di mana ahli yang memperkenalkan skim tersebut akan menerima pelaburan wang dalam jumlah yang sama iaitu RM100 daripada ahli baru. Ahli baru pula akan mengharapkan ada ahli lain yang ingin menyertai skim itu melaluinya. Bagi menarik peserta baru untuk menjadi mangsa, ‘si penipu’ akan menggunakan gambar longgokan duit yang banyak, kereta mewah serta barangan berjenama sebagai umpan mereka.
Berikut antara kes penipuan membabitkan pelaburan menerusi Facebook yang diceritakan oleh mangsa kepada wartawan, MUHAMAD AMIRUL AFIQ MASTOR.
KES 1:
BERKENALAN dengan seseorang di Facebook yang boleh membantu membebaskan diri individu itu daripada dibelenggu masalah kewangan pasti membuatkan sesiapa sahaja teruja. Perasaan itu turut dialami Normala Aziz, 27, apabila dia tertarik untuk melabur hanya kerana ‘sambutan’ yang diterima oleh rakan mayanya. Normala berkata, ucapan terima kasih kerana membantu dan juga gambar bersama kereta serta banglo mewah yang diterima dan terpapar di profil rakannya itu, membuatkan dia lebih yakin untuk turut serta.
Setelah mendapatkan maklumat lanjut daripada rakan mayanya itu, satu pertemuan dilakukan. “Saya memandu ke pejabatnya dan mula mencari tempat letak kereta di dalam bangunan itu. “Agak terkejut apabila melihat pelbagai kereta mewah seperti Porsche, Ferrari serta Aston Martin berbaris dalam tempat letak kereta itu dan semuanya ada pelekat skim pelaburan tersebut,” katanya yang ketika itu masih lagi belajar di institusi pengajian tinggi di ibu negara.
Tanpa berfikir panjang, Normala yang ketika menyertai pelaburan tersebut masih belajar di institusi pengajian tinggi awam, telah melaburkan wang biasiswanya sebanyak RM2,000. Masalah mula timbul apabila dia terpaksa mencari ahli baru untuk melayakkan dia menerima pulangan dijanjikan dalam pelaburan tersebut. Malah, pihak atasan dan ejen meminta dia menaikkan pelaburan sehingga RM35,000 untuk melayakkannya menjadi ‘rakan kongsi’.
Terdorong dengan kata-kata itu, dia mula meminjam wang daripada rakan-rakan, ahli keluarga dan saudara mara. Malangnya ‘langit tidak selalunya cerah’ apabila ramai di antara ‘rakan kongsi‘ pelaburan itu ditangkap oleh pihak polis berikutan dakwaan melakukan pengumpulan deposit secara haram.
KES 2:
DENGAN hanya log masuk ke dalam Facebook, seseorang berjaya mendapat RM100. Jika ikut logik akal, bukan mudah seseorang mendapatkan keuntungan dengan hanya bergoyang kaki sambil melayari Facebook. Namun, itulah hakikatnya yang berlaku kepada salah seorang mangsa, Derrick Lau, 27, apabila mencuba untuk turut sama berjaya seperti yang diiklankan oleh skim pelaburan Facebook itu. “RM100 bukan nilai yang besar untuk modal dan saya rasakan pada mulanya tidak salah untuk saya mencuba, mana tahu nasib menyebelahi saya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut Derrick, taktiknya sangat mudah, selepas mendaftar dan membayar RM100 sebagai modal awal, pelabur perlu memperkenalkan ahli baru. Pada awalnya, tiada penerangan khusus diberikan mengenai skim pelaburan tersebut. Setelah menyertainya, barulah dinyatakan bahawa skim tersebut perlu mencari ‘orang bawah’ (downline). “Mereka mendapat keuntungan dengan merekrut orang baru dan memasukkan wang ke dalam akaun mereka. “Lagi ramai yang masuk, makin bertambahlah duit di dalam akaun dan ia ternyata bukan satu pelaburan tetapi hanya mengambil wang orang lain. “Menyedari perkara itu, saya terus tidak menyertainya lagi dan bagi sesiapa yang bertanya, saya katakan ia adalah satu penipuan,” katanya.
KES 3:
KHIDIR Rosli, 32, merupakan seorang pekerja swasta di salah sebuah hospital di ibu negara yang mahu mendapatkan keuntungan dengan cara mudah. Dia ditemukan oleh seorang rakan kepada satu skim pelaburan yang berasaskan Internet yang mana dapat memberikan pulangan sehingga 10 peratus setiap bulan. Masuk RM1,000, hujung bulan dapat RM100 dan begitulah seterusnya mengikut jumlah pelaburan yang dibuat – lebih tinggi pelaburan lebih banyak pulangan yang diterima. Menurutnya, sesiapa sahaja yang mempunyai akaun bank terutama Maybank2u boleh menyertai pelaburan ini kerana keuntungan akan didebitkan terus ke akaun mereka secara bulanan.
Pada awalnya, dia kurang percaya berikutan telah tertipu dengan pelaburan lain sebelum ini. Namun, pujukan serta cerita yang dibawa oleh temannya itu tentang kejayaan mereka telah dapat menundukkan hati Khidir untuk mula melabur. Dalam bulan pertama, dia mendapat RM100 dan begitu juga dengan bulan-bulan seterusnya. Pada bulan kelima dan keenam, pulangan yang diterima semakin meningkat kepada RM500, membuatkan dia merasa sangat gembira kerana beranggapan pelaburan kali ini tidak sia-sia. “Saya terus menghubungi ejen dan dia mengatakan syarikat sedang meningkat naik dan pelabur menerima pulangan yang lumayan. “Dia juga menyuruh saya untuk menambahkan pelaburan bagi mendapatkan pulangan berlipat kali ganda,” katanya.
Atas idea yang diberikan ejen skim tersebut, beliau membuat pinjaman peribadi kepada sebuah bank sebanyak RM50,000 untuk tujuan melabur dengan harapan mendapat pulangan lebih besar. Pada bulan pertama, bayaran sebanyak RM5,000 telah diterima menerusi akaun bank. Bagaimanapun, pada bulan kedua dan seterusnya, bayaran semakin berkurangan kepada RM2,500 dan pernah dia mendapat hanya RM1,000 sahaja. Lama-kelamaan dia tidak menerima langsung pulangan wang pelaburan.