Kerja Sampingan Bukan Lagi Satu Pilihan?

Dalam kehidupan yang semakin mencabar, dengan kenaikan harga barangan, pelbagai cukai yang terpaksa dibayar oleh rakyat Marhain setiap hari, saya diberi kesempatan oleh Harian Metro untuk memberikan pendapat mengenai isu Kerja Sampingan.

Rezeki Sampingan Tambah Pendapatan

1. Peningkatan kos sara hidup setiap tahun menyebabkan ramai pekerja melakukan kerja sampingan bagi mencari pendapatan tambahan. Apa komen tuan mengenai fenomena ini?

Peningkatan kos sara hidup yang tidak selari dengan kenaikan gaji menyebabkan ramai pekerja terpaksa mencari alternatif untuk menambahkan pendapatan keluarga.  Namun perkara utama yang seorang pekerja perlu kenal pasti sebelum mencari kerja sampingan apakah keperluan dan objektif utama mereka mempunyai kerja sampingan, adakah kerana untuk membayar hutang ataupun untuk keperluan lain seperti membuat tabungan untuk dana pendidikan atau persaraan. Apabila ada matlamat yang khusus, maka anda boleh gariskan beberapa langkah dan panduan yang sesuai untuk tidak menjejaskan pekerjaan utama seharian anda.

Mempunyai kerja sampingan boleh menjejaskan produktiviti seseorang pekerja sekiranya tidak diimbangi dengan betul apa matlamat asal mereka melakukan kerja sampingan.

Fenomena ini boleh mendatangkan kebaikan dan keburukan kepada majikan mahupun seseorang pekerja itu sendiri. Majikan sebolehnya mahukan pekerja mereka memberi komitmen penuh dan setia kepada organisasi tempat mereka bekerja, pada masa yang sama, masalah kewangan yang dialami oleh pekerja juga boleh mendorong masalah-masalah lain yang boleh juga mengurangkan produktiviti syarikat.

Dengan menaikkan gaji pekerja semata-mata untuk tidak membenarkan pekerja melakukan kerja sampingan tidak mungkin akan dapat menyelesaikan masalah kewangan pekerja sekiranya mereka tidak bersedia untuk melengkapkan diri dengan ilmu pengurusan kewangan. Pekerja yang bijak merancang kewangan dan tidak mengalami masalah hutang yang serius kebiasaannya boleh memberikan tumpuan dan sentiasa berusaha untuk meningkatkan produktiviti mereka untuk kebaikan syarikat.

2. Apa persediaan yang perlu dilakukan oleh mereka yang ingin melakukan kerja sampingan ini?

Persediaan utama yang perlu dilakukan oleh pekerja adalah untuk memastikan kerja sampingan yang dilakukan tidak memberi sebarang  konflik kepentingan dengan majikan tempat anda bekerja.  Seterusnya , anda perlu kenal pasti apakah bentuk kerja sampingan yang sesuai untuk dilakukan,  umpamanya boleh dilakukan secara sambilan dan tidak mengganggu kerja di siang hari. Kerja tersebut seharusnya tidak mengambil masa yang lama kerana anda telah menghabiskan masa selama lapan jam di pejabat, sanggupkah anda untuk bekerja lagi selama lima jam atau lebih pada sebelah malam?

Ketika anda menimbang untuk melakukan kerja sambilan, carilah sesuatu yang tidak memerlukan modal yang besar ataupun anda tidak perlu mengeluarkan kos operasi yang tinggi dari pekerjaan ataupun perniagaan tersebut.

Realitinya tidak semua orang boleh lakukan perkara yang sama kerana setiap antara kita mempunyai kekuatan dan kekurangan tersendiri. Justeru itu, anda harus mengenal pasti apakah bentuk pekerjaan yang boleh mendatangkan pendapatan tambahan kepada anda seorang pekerja tanpa memerlukan pengurusan yang rapi untuk tidak menjejaskan pekerjaan utama anda.

Antara pendapatan sampingan yang boleh dilakukan oleh seorang pekerja adalah dengan membuat kerja jualan secara sambilan, menjadi pensyarah di institusi pengajian swasta, menjadi seorang penulis, membuat kerja perundingan mengikut kepakaran anda, membuat kelas untuk berkongsi kemahiran yang anda miliki, contohnya anda suka memasak, boleh membuat bengkel  memasak untuk ibu berkerjaya pada hujung minggu.

Sebenarnya terdapat banyak pilihan untuk mendatangkan pendapatan tambahan, namun kebanyakan dari kita membuat had pada bidang jualan produk fizikal saja, sedangkan anda mempunyai kelebihan dalaman yang belum dicungkil sepenuhnya oleh majikan anda, dan inilah masanya untuk anda keluarkan ‘gergasi’ dari dalam diri anda. Mana tahu suatu hari nanti anda boleh jadi seorang pakar dalam bidang yang anda ceburi secara sambilan saja, namun atas dasar minat yang mendalam, anda boleh menjana pendapatan yang lumayan!

3. Apakah kesilapan yang sering dilakukan oleh mereka yang membuat kerja sampingan ini dan apakah kesannya?

Pokok pangkalnya, anda masih mempunyai majikan dan inilah sumber pendapatan utama untuk menyara keluarga. Dengan itu, jangan khianati amanah yang diberikan oleh majikan anda, kerana apa yang anda inginkan bukan saja pendapatan tambahan, namun keberkatan dari hasil usaha anda. Anda tahu apa yang bakal lakukan, oleh itu, lakukan kerja sampingan di luar waktu bekerja dan tidak menggunakan kemudahan yang disediakan oleh majikan. Melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan sumber pendapatan utama, yang boleh menyebabkan mereka kehilangan pekerjaan. Apakah ini yang anda inginkan? Pastinya ini bukan matlamat asal, kerana apa yang anda inginkan adalah tambahan daripada pendapatan sedia ada untuk meningkatkan ekonomi keluarga.

Antara kesilapan lain yang biasa dilakukan adalah dengan melakukan lebih dari dua pekerjaan sambilan secara serentak lantas mereka sukar untuk memberi tumpuan dan fokus kepada setiap satu pekerjaan. Anda harus pilih sesuatu yang apabila anda lakukan boleh membuatkan anda  gembira dan juga memberi pulangan yang setimpal dengan apa yang telah anda usahakan. Apabila anda fokus kepada satu-satu pekerjaan, anda akan dapat memberikan masa dan tumpuan semaksima mungkin dan tidak lari dari matlamat asal kenapa anda perlu melakukan kerja sambilan.

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *