Utusan Malaysia
NUJ Utusan bukan pengkhianat!
Ali Bukhari Amir
(www.harakahdaily.net)
HATINYA rentung terbakar dibedil tohmah liar. Tembok jiwanya patah dan pecah hancur berderai dilanggar fitnah sebagai pengkhianat kepada institusi Melayu. Betapa pun cabaran yang mendatang, semua ancaman dan tribulasi itu memaksa beliau menjadi semakin kuat, tegar dan tabah mendepani ujian pahit getir dalam perjuangan ini.
Hampir saban malam, dia dan rakan-rakan melihat iklan Utusan Malaysia yang tersiar di televisyen dan iklan itu nampak begitu gah dalam pandangan orang-ramai. Sebagai orang dalam, beliau begitu arif dan fasih mengenai kelemahan dalaman.
Terbaru… dia menerima kecaman hebat daripada pihak pengurusan dengan menyatakan bahawa dirinya adalah pengkhianat! Sebenarnya, Amran Ahmad, Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Wartawan Cawangan Utusan Melayu (NUJ Utusan) telah pun mencuba pelbagai kaedah dan cara untuk mengangkat suara sekitar 300 lebih kakitangan Utusan berbangsa Melayu selama ini.
“Kenapa sampai sanggup dianggap NUJ Utusan ini sebagai pengkhianat Melayu?” bisik hatinya. “Apakah kerana semata-mata bercakap kepada akhbar media alternatif sebelum ini, maka kami layak digelar pengkhianat?”
Sebelum Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini, Amran dan rakan-rakan cuba mendapatkan permit daripada pihak polis untuk berpiket di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC). Sebagai dijangka. Tiada seorang pun pegawai polis yang sudi memberi permit untuk tujuan tersebut. Rayuan mereka ditolak.
“Sebelum mana-mana pihak cuba menggelar NUJ Utusan sebagai pengkhianat, saya pohon dan saya rayu agar tolong renungkan persoalan-persoalan ini,” kata Amran menerusi suatu kenyataannya.
1. Apakah usaha untuk menaikkan gaji kebanyakan ahli NUJ Utusan yang menjadi nadi Jabatan Pengarang Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia dan Kosmo! mewajarkan mana-mana pihak menggelarkan kesatuan sebagai pengkhianat?
2. Apakah kerana mahu warga Jabatan Pengarang mendapat pelarasan gaji yang lebih tinggi daripada rakan-rakan sekerja lain di kilang atau para pemandu yang menjadi ahli Kesatuan Kakitangan dan Pekerja Akhbar (KKPA) Utusan Melayu maka NUJ Utusan dianggap sebagai pengkhianat?
3. Apakah usaha menuntut agar elaun kenderaan wartawan yang ke sana ke mari pada setiap hari naik sedikit wajar diistilahkan sebagai mengkhianati walhal kenaikan elaun kenderaan yang diminta masih rendah jika dibandingkan dengan elaun kenderaan wartawan dan jurugambar Kumpulan NSTP dan The Star?
4. Apakah usaha mempertahan segala kebajikan sedia ada yang sudah termaktub dalam Perjanjian Bersama (CA) seperti faedah layanan perubatan, kos bersalin dan sebagainya boleh dianggap cubaan khianat?
5. Apakah hanya kerana Malaysiakini.com dan Harakahdaily.net menyiarkan berita-berita hasrat wartawan Utusan Melayu untuk berpiket semasa Perhimpunan Agung UMNO yang lalu boleh menyebabkan exco-exco NUJ Utusan terutama Pengerusinya, Amran Ahmad bersama-sama dua tiga kerat exco lain dilabel sebagai pengkhianat yang cuba mensabotaj institusi Melayu sedangkan kenyataan akhbar tersebut dihantar kepada semua penerbitan yang tidak mahu menyiarkan berita piket NUJ Utusan itu?
6. Apakah semua fakta di atas wajar digunakan oleh pengurusan Utusan untuk melabelkan exco-exco NUJ Utusan sebagai pengkhianat, suatu tuduhan yang cukup berat untuk diterima oleh mana-mana individu termasuk anggota kesatuan sekerja?
Berdasarkan enam perkara ini, NUJ Utusan mendesak pihak pengurusan dapat menjawabnya. Dan, kalau tiada aral melintang, dalam tempoh terdekat, badan itu mahu segera mengusung laporannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung amalan pembaziran yang telah dilakukan oleh pihak pengurusan Utusan.
Berita tentang amalan pembaziran seperti ini, adakah boleh dimuatkan dalam Utusan sendiri? Sudah tentu tidak. Maka NUJ Utusan terpaksalah membawa kisah-kisah seumpaman ini untuk didedahkan dalam akhbar-akhbar milik pembangkang dan akhbar yang tiada kepentingan politik. Ya! Walaupun sekali lagi mereka dihumban fitnah sebagai pengkhianat!
Tiang gol lebih RM180,000?
Tambah Amran, pihaknya mempercayai bahawa beberapa juta ringgit telah lesap entah ke mana, dan antara yang lesap itu telah digunakan untuk membeli tiang gol berharga lebih RM180,000.
Apabila banyak duit digunakan ke arah hal yang tidak betul, maka gaji dan beberapa peruntukan yang sepatutnya diterima semakin berkurangan. Hal inilah yang menerbitkan kemarahan di hati pihak NUJ Utusan.
“Malangnya, NUJ Utusan yang sekadar ingin memenuhi aspirasi pemiliknya, Umno untuk terus membela orang Melayu dianggap sebagai pengkhianat bangsa dan institusi keramat orang Melayu.
“Tidak pasti sama ada pengurusan Utusan Melayu tidak sedar atau buat-buat tidak sedar bahawa warga Jabatan Pengarang itu sendiri adalah orang Melayu yang kebanyakannya tinggal di bandar dan ibu kota yang turut melarat kehidupan mereka ekoran kenaikan harga barangan,” kata Amran ketika meriwayatkan desakan hidup warga kerja Utusan yang terpinggir.
Pada beliau, tentulah barisan pengurusan Kumpulan Utusan yang rata-ratanya Melayu tak mahu melihat anak bangsa sendiri teraniaya.
“Mereka inilah yang bertungkus-lumus bekerja mencari berita, merakam gambar dan menyediakan rekaan grafik untuk setiap helaian akhbar-akhbar Kumpulan Utusan, tapi mendapat peratusan kenaikan gaji yang lebih rendah berbanding rakan-rakan mereka di kilang dan pemasaran atau pemandu.
“Justeru, dalam setiap hari kita melaung-laungkan pembelaan dan perjuangan bangsa Melayu di bumi bertuah Malaysia ini, NUJ Utusan juga merasakan kewajaran orang-orang Melayu yang menjadi warga Jabatan Pengarang dan setiap hari berselisih bahu serta berbalas senyuman mendapat pembelaan oleh pengurusan Kumpulan Utusan,” kata beliau