Apa Makna Hijrah Bagi Aku

Salam,

Hijrah membawa seribu makna pada setiap orang. Setiap kali kita bertanya apa yang mereka faham tentang hijrah, dalam ribuan makna membawa satu maksud sahaja, iaitu berubah dari menjadi seorang yang ‘nakal’ kepada seorang yang lebih baik. Ini memang lumrah kehidupan, kalau kita rasa kita perlu berhijrah, ada ke orang nak berubah dengan mengunjungi disko, jadi pelanggan pelacur, serta melakukan lebih banyak maksiat?  Even kalau seseorang yang dipenjarakan, bagaimana pihak penjara ‘educate’ mereka ini? Bukankah untuk kembali kepada agama?

Begitulah dengan diri kita juga. Sepanjang 32 tahun aku telah berada di muka bumi ini, cukupkah aku bersedia untuk kembali menemui Ilahi pada bila-bila masa? Ya Allah, bila dihitung kembali, banyaknya dosa-dosa yang telah ku lakukan di muka bumi ini. Dari mengumpat orang sehinggalah melakukan transaksi yang melibatkan riba, semua itu adalah dosa yang akan dihisab di padang mahsyar suatu hari nanti. Semua orang tidak akan terlepas dari hitungan tersebut. Manakalah pahala pulak, sebanyak banyak pahala yang telah aku buat? Takut rasanya untuk menghadapi kematian…istilah yang selalu aku dengar dari orang-orang di sekeliling aku..semua orang takut untuk hadapi kematian, namun sejauh manakah persediaan kita untuk menghadapi saat-saat sedemikian?

Kehidupan seharian begitu mengejar kepada keduniaan, sehingga ada seketika aku lupa kita berada di sini adalah atas keredhaan Ilahi, yang memberikan rezeki kepada kita atas dasar usaha dan tawakkal kita kepada Nya. Dari Ilahi kita datang, dan kepada Nya juga kita kembali suatu hari nanti.

Sebenarnya tak salah untuk kita semua mengejar kemewahan hidup, tapi yang menjadi kesedihan kepada aku adalah, ramainya orang di sekelilingku begitu mudah untuk meninggalkan solat sewaktu berada di pejabat? Kenapa aku tidak berdaya untuk menjadi seorang pendakwah, dengan hanya memberitahu Solat Itu adalah TIANG AGAMA, dan sebaik mana amalan kita yang lain, tanpa SOLAT, amalan2 baik yang lain akan tergantung, dan tidak dihisab kerana tiada tiang? Kenapa aku begitu lemah untuk memberitahu perkara yang amat penting dalam kehidupan seseorang Muslim sebegini? Ya Allah, berikanlah hidayah bukan sahaja kepada aku, malah kepada orang-orang disekeliling daku yang kebanyakannya ku ketemui dan berada di sekeliling mereka sepanjang 8-9 jam sehari, lima hari seminggu.

Tahun baru Hijrah 1431 tidak memberi makna kepada aku, serta sekalian mukmin semua, sekiranya tidak ditanam satu niat dan azam yang murni untuk membuat satu perubahan ke arah kebaikan. Sematkanlah satu azam di sanubari, tahun baru ini adalah tahun menentang kemungkaran dan mengajak ke arah kebaikan. Mungkin sekiranya kita tidak terdaya untuk melaksankan kepada orang lain, kepada diri kita sendiri pun sudah terlalu cukup. Mulakan dulu dengan diri kita sendiri.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *