Pelaburan Kutu Melalui Internet

Pelaburan Kutu

Salam,

Saya pasti anda pernah menerima emel atau melihat posting dalam Facebook…ayat-ayat hype yang memberitahu ‘jeles saya tengok budak lepasan SPM gred 3’ dapat jana RM1000 sehari dengan modal hanya RM50….dengan RM50, pelbagai janji-janji manis dijanjikan oleh pelabur-pelabur skim kutu ini. Biasalah manusia..sentiasa dikaburi oleh janji pulangan lumayan…tanpa fikir panjang dan buat kajian terlebih dahulu, mereka dengan senang hati menyertai program sebegini.

Ok, dalam posting kali ini, saya ingin memetik artikel yang ditulis oleh seorang peguam Mohamad Sofee Razak yang diambil dari Harian Metro bertajuk  Jerat janji pulangan lumayan.

PELABURAN kutu di negara ini wujud sejak 1970 lagi, namun skim itu kini telah diharamkan melalui Seksyen 3, Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971, berikutan skim pelaburan palsu berkenaan mengenakan caj dan yuran perkhidmatan berbentuk perniagaan dan menipu hingga ramai terpedaya dengan pelaburan haram tersebut.

Aktiviti skim kutu haram semakin berleluasa di negara ini dan terus mendapat sambutan menggalakkan kerana ramai yang terpedaya dengan janji pulangan lumayan dalam waktu yang singkat.

Menurut Seksyen 2(1) akta tersebut iaitu skim pelaburan kutu haram dikenali dengan pelbagai nama seperti kutu, cheetu, chit fund, hwei atau tontine iaitu peserta membayar yuran secara berkala atau kepada satu kumpulan wang bersama dan kumpulan wang itu dijual atau dibayar kepada peserta dengan cara lelongan, tender dan undian. Ia berbeza dengan wang kutu secara tradisional yang tidak menjadi satu kesalahan kerana ia bukan menjurus kepada unsur perniagaan dan tidak mendatangkan sebarang keuntungan.

Oleh itu, perlu ditegaskan bahawa akta berkenaan tidak membabitkan penganjuran skim kutu yang sudah lama dijalankan di pejabat, sekolah atau di kampung-kampung atas dasar tolong-menolong kerana ia berbeza dan tidak bermotifkan keuntungan. Ini adalah kerana skim kutu yang dianjurkan itu tidak membabitkan perniagaan tetapi apa yang perlu diperangi ialah pengendali skim kutu haram yang tidak bertanggungjawab mengutip duit orang ramai tanpa had sehingga mencecah jutaan ringgit dan kemudiannya pihak berkenaan menutup syarikat.

Dilaporkan hampir 100,000 individu di negara ini didapati terjebak dalam skim kutu haram dan palsu menerusi pelbagai medium terutama Internet, yang membabitkan pelaburan kira-kira RM33 juta sepanjang tahun lalu.

Selain menggunakan laman web, blog, facebook dan seumpamanya, penganjur skim kutu haram juga melantik ejen ataupun menyebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) serta menggunakan pembayaran secara perbankan dalam talian, wang pos atau kiriman wang bagi menarik penyertaan orang ramai terhadap skim kutu yang dikendalikan oleh mereka.

Sebanyak enam individu yang terbabit menganjurkan skim kutu haram telah dihadapkan ke mahkamah sejak 2009 dengan tiga daripadanya didapati bersalah dan menurut kajian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, keseluruhannya 34 aduan diterima dalam tempoh itu dengan tahun lalu saja mencatatkan 26 kes. Terdapat beberapa kes yang membabitkan pelanggaran akta itu telah dihadapkan ke mahkamah termasuk kes Grand Merger Network Services yang menganjurkan skim kutu menggunakan wang pos, membabitkan kutipan berjumlah RM22.4 juta.

Mana-mana syarikat yang menganjurkan perniagaan skim kutu boleh didenda sehingga RM500,000 iaitu 100 kali ganda lebih tinggi daripada peruntukan denda sedia ada di mana tindakan yang lebih tegas terhadap syarikat penganjur perniagaan skim kutu termasuklah menaikkan tempoh penjara maksimum daripada tiga tahun kepada 10 tahun bagi kesalahan sama. Akta itu juga disenaraikan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA).

Akta berkenaan juga bertujuan melarang pendaftaran atau pelesenan perniagaan yang bertujuan menganjurkan atau merancang untuk menganjurkan wang kutu dan bertujuan mengelak berlakunya penyelewengan oleh syarikat yang menjalankan perniagaan wang kutu secara haram dan menyebabkan kerugian kepada orang ramai yang melabur dalam syarikat berkenaan.

Tindakan tegas perlu dikuatkuasakan kerana terdapat syarikat yang mengumpul duit orang ramai secara salah dan penganjur kutu kebiasaannya mengambil komisen misalnya 10 peratus sebagai caj perkhidmatan dan turut melakukan pelbagai helah untuk menipu peserta yang menyertai skim kutu berkenaan.

Untuk itu, kerajaan perlu terus memantau perkembangan semasa skim kutu yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan ini bagi mengelakkan lebih ramai menjadi mangsa dan terpaksa menanggung kerugian yang banyak yang sebahagian besarnya adalah simpanan hari tua mereka.

Selain penggubalan akta itu, kempen untuk memerangi perkara ini termasuklah kempen kesedaran yang konsisten dan usaha mencetak risalah berkaitan bagi memberi maklumat kepada orang awam agar berhati-hati dengan skim pelaburan kutu ini perlulah digiatkan lagi dari semasa ke semasa agar orang ramai tidak terus menjadi mangsa pengendali skim pelaburan haram dan palsu ini.

Namun, apa yang paling penting ialah anjakan dan perubahan sikap individu itu sendiri yang terlalu memikirkan jalan singkat untuk menjadi kaya dengan cepat tanpa melihat kepada baik dan buruk sesuatu skim pelaburan yang dimasuki atau merujuk kepada pakar runding pelaburan yang bertauliah dan boleh dipercayai.

Bagi masyarakat Islam pula, mereka perlu memberi penekanan bahawa sesuatu skim pelaburan yang ingin disertai itu perlu mematuhi piawaian syariah agar tidak terjerumus dengan masalah riba, perjudian dan gharar. Sehubungan itu, adalah disarankan agar orang ramai berhati-hati dan tidak melabur dalam sistem pelaburan yang menjanjikan pulangan berlebihan dalam sekelip mata bagi mengelakkan mereka terperangkap dalam kes seperti skim kutu yang semakin berleluasa ketika ini.

Pelaburan Kutu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *