Selamat Hari Raya Aidil Fitri

Salam,

Begitu cepat masa berlalu. Rasanya baru saja bermula Ramadhan. Hari ini dah masuk hari ke 26 puasa. Apabila berada di 10 malam terakhir ini, pelbagai cabaran yang dihadapi, dari karenah diri sendiri yang keletihan dek seharian di pejabat tak dapat nak ‘landing’ di siang hari, serta anak-anak kecil Jauzil dan Jauni yang kadang-kadang meragam di waktu petang dan malam. Nasib baik Haziq sudah pintar sekarang ni, tak lagi meragam, cuma biasalah perangai budak 5 tahun ni..ada jugak benda yang membuatkan kita naik hangin seketika.

Tahun ni buat pertama kalinya kami sekeluarga balik kampung dengan AirAsia kerana bibik ingin beraya di Medan, dan tak mungkin Siti boleh pegang Jauzil dan Jauni dalam kereta sepanjang perjalanan balik ke kelantan. Seawal bulan April 2009 aku telah membeli tiket Air Asia, dan untuk perjalanan satu keluarga (kecuali Jauni sebab masa beli Jauni belum lahir), RM800.

Raya tahun ni pasti kami satu famili di Kelantan akan terasa kehilangan dan kekurangan, dengan ketiadaan Ayah tercinta. Rasa macam tak percaya ayah meninggalkan kami semua, dan tak sangka Raya tahun lepas, adalah raya terakhir untuk ayah bersama-sama kami. Banyak foto yang kami semua rakam bersama ayah semasa raya tahun lepas bersama anak-anak dan cucu-cucu. Setiap kali mengimbas kenangan, rasa sedih menusuk kalbu ini, dan aku yakin ini adalah satu lumrah. Cuma kita perlu terima hakikat setiap insan yang ada di dunia ini akan kembali kepada Nya, tak mungkin kita akan dapat lari dari hakikat ini.

Harapan besar aku semoga Allah memanjangkan umur kami semua satu keluarga dalam Iman dan Takwa. Aku juga berdoa semoga Allah memanjangkan lagi umur aku, agar aku sempat lagi berjumpa dengan Ramadhan 1431H.

Dikesempatan ini, kami sekeluarga ingin memohon ampun dan maaf di atas segala salah dan silap sepanjang perkenalan kita. Memang sebagai seorang manusia, kita sentiasa alpa dan tidak terlepas daripada kita untuk melakukan dosa antara sesama manusia dan juga dosa dengan Allah.

Kami Semua Ucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri
Kami Semua Ucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri

Salam Syawal,
Humaizi dan Siti serta Haziq, Jauzil dan Jauni

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *